(Gambar arkib) Pemandu-pemandu lori membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh pada 1 Jun 2019.

IPOH, PERAK – 14 OKTOBER 2021: Tuntutan pemandu-pemandu lori untuk mendapat balik caruman KWSP yang tidak dibayar oleh majikan mereka, Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd, telah mencapai satu penyelesaian selepas pihak syarikat bersetuju untuk membayar tunggakan caruman sebanyak lebih RM2.6 juta kepada pekerja-pekerja berkenaan.

Satu penghakiman persetujuan telah dicapai pada hari ini di Mahkamah Tinggi Ipoh dalam kes saman sivil Lembaga KWSP lawan Hong Heng Transport lawan 268 orang pemandu lori. Dalam penghakiman persetujuan tersebut, syarikat Hong Heng Transport bersetuju untuk membayar tunggakan caruman KWSP untuk 268 orang pekerjanya dari tahun 2011 hingga 2017, dengan jumlah sebanyak RM2,638,595. Jumlah bayaran ini termasuklah bahagian caruman pekerja (sejumlah RM1,227,024) dan bahagian caruman majikan (sejumlah RM1,411,571), yang semuanya akan dibayar oleh majikan. Bayaran daripada pihak majikan ke dalam akaun KWSP pekerja-pekerja berkenaan akan dibuat secara beransuran selama 48 bulan dari 31 Oktober 2021 hingga 30 September 2025.

Di samping itu, pihak syarikat Hong Heng Transport juga menarik balik kes saman sivilnya yang menuntut daripada 268 orang pekerja untuk membayar bahagian caruman pekerja masing-masing.

Penghakiman persetujuan ini ialah satu kemenangan kepada perjuangan Gabungan Pemandu Lori (GPL). GPL yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat aduan mengenai kes kegagalan majikan membuat caruman mengikut Akta KWSP ini pada bulan Januari 2017. Aduan GPL telah mencetuskan tindakan mahkamah daripada KWSP terhadap syarikat Hong Heng Transport pada bulan November 2018. Selepas berlarutan hampir 4 tahun sejak aduan dibuat, termasuk berdepan dengan tindakan pihak syarikat yang mengheret pekerja ke mahkamah untuk memaksa pekerja membayar untuk kesalahan majikan itu sendiri, akhirnya pihak majikan terpaksa akur juga dan pemandu-pemandu lori yang berkenaan mendapat satu keadilan.

Pemandu-pemandu lori ini diwakili oleh peguam Bawani KS yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung PSM.

Latar belakang kes

Pada bulan Januari 2017, Gabungan Pemandu Lori (GPL) yang mewakili pemandu-pemandu lori yang diupah oleh Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd, telah membuat satu aduan terhadap syarikat tersebut di Ibupejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur, kerana pihak majikan gagal membuat caruman mengikut Akta KWSP, dan membuat caruman pada kadar yang jauh kurang daripada apa yang sepatutnya.

Siasatan KWSP mendapati bahawa aduan daripada pihak pekerja ini memang berasas dan mengarahkan pihak majikan untuk menjelaskan baki caruman yang tidak dibayar selama tempoh 6 tahun sebelum tarikh aduan itu bagi semua pemandu lori yang diupah oleh syarikat tersebut. Menurut Akta KWSP, majikan yang didapati bersalah akan dikenakan penalti di mana dia dikehendaki membayar kedua-dua bahagian caruman, iaitu caruman daripada majikan dan pekerja. Namun, pihak syarikat Hong Heng Transport pada awalnya enggan mematuhi arahan KWSP. Oleh itu, KWSP telah memfailkan kes sivil terhadap syarikat Hong Heng Transport pada bulan November 2018, untuk mendapatkan baki caruman sebanyak RM2,638,595 daripada pihak syarikat.

Akan tetapi, pihak syarikat Hong Heng Transport mengheret pula 268 orang pemandu lori yang berkenaan ke mahkamah untuk menuntut bayaran bahagian caruman pekerja masing-masing sekiranya kes dimenangi oleh Lembaga KWSP. Jumlah wang yang dituntut daripada setiap orang pemandu lori adalah antara RM500 sehingga RM28,000. Tindakan yang memangsakan pekerja atas kesalahan majikan itu sendiri telah menimbulkan bantahan daripada para pemandu lori, termasuk membuat aduan polis terhadap majikan kerana tindakan yang dianggap berniat jahat itu.

(Gambar arkib)

Oleh sebab keberanian dan kegigihan pemandu-pemandu lori untuk memperjuangkan hak mereka, akhirnya mereka berjaya mendapat balik semua baki caruman KWSP yang sepatutnya dinikmati mereka.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *