26 JULAI 2021: Doktor-doktor kontrak mengadakan aksi protes serentak di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara pada hari ini untuk menuntut jaminan kerja.

Walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan ugutan daripada pihak atasan Kementerian Kesihatan, tetapi ramai doktor masih turun berprotes dalam aksi yang bergelar “Hartal Doktor Kontrak” ini, dengan meninggalkan sementara tempat kerja masing-masing pada pukul 11 pagi. Aksi protes telah berlangsung di hospital-hospital seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam, Hospital Klang, Hospital Melaka, Hospital Pulau Pinang, Hospital Kota Bharu, Hospital Ipoh dan sebagainya.

Aksi protes doktor kontrak di Hospital Sungai Buloh. (Foto oleh Zikri Rahman / Malaysia Muda)

Doktor-doktor yang berprotes telah mengadakan aksi mereka dengan penuh aman dan tanpa menjejaskan perkhidmatan rawatan untuk pesakit.  Doktor-doktor yang berprotes ini telah menegaskan tuntutan mereka untuk penukaran status doktor kontrak kepada jawatan tetap demi melindungi jaminan kerja bagi doktor-doktor yang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan.

Sejak tahun 2016, hanya lebih kurang 3% daripada doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam. Doktor kontrak mendapat gaji yang kurang walaupun mempunyai skop kerja yang sama, serta tidak mempunyai akses kepada cuti, faedah, pencen serta peluang latihan seperti doktor tetap. Keadaan kerja yang tidak baik kepada pekerja kesihatan memberi kesan kepada kualiti penjagaan kesihatan. Doktor-doktor yang berkhidmat selama 5 tahun sebagai doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mereka menjadi doktor pakar, maka doktor-doktor yang tidak diambil sebagai doktor tetap dalam perkhidmatan kesihatan awam hanya boleh bekerja sebagai pengamal perubatan am (GP), tetapi sektor GP telah pun dipenuhi dengan lebih 7,000 orang doktor yang berdaftar dan keadaan menjadi sukar untuk mereka. 

Pihak berkuasa telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang doktor-doktor kontrak daripada menyuarakan tuntutan mereka yang sah itu. Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada para doktor melalui hantaran di laman facebook pada 25 Julai 2021, iaitu sehari sebelum aksi protes Hartal Doktor Kontrak, dengan menyatakan bahawa pegawai awam boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati terlibat dalam “perhimpunan haram”. Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah, pula menggunakan alasan sumpah jawatan primum non nocere (jangan mengakibatkan kemudaratan kepada pesakit) untuk memberi amaran halus kepada doktor-doktor yang hendak berprotes. Aksi protes yang dirancangkan untuk diadakan di Pusat Kuarantin COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) telah dibatalkan kerana ancaman penangkapan oleh pihak polis. Pihak polis juga mengatakan bahawa akan menyiasat protes doktor kontrak ini.

Aksi di Hospital Melaka. (Tangkap layar dari video siaran Sinar Harian)

Aksi protes “Hartal Doktor Kontrak” telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Dalam satu kenyataan bersama yang bertajuk “Pertahankan sistem kesihatan awam, berhenti mengancam pekerja kesihatan!”, sebanyak 74 buah organisasi telah menyatakan sokongan sepenuh mereka terhadap tuntutan doktor-doktor kontrak yang mengambil bahagian dalam aksi protes, iaitu:

  • Jaminan perlantikan tetap bagi para doktor kontrak dan doktor baharu;
  • Hak gaji samarata dengan doktor tetap, yang menjalankan tugas sama;
  • Kebajikan yang serupa, termasuklah cuti dan faedah.

Antara organisasi yang menandatangani kenyataan bersama yang merupakan inisiatif Malaysia Muda dan Malaysian Progressives in Australia (MPOZ) ini termasuk Bornea Komrad, Buku Jalanan, EMPOWER Malaysia, Five Arts Centre, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan, North South Initiative, Parti Pejuang Tanahair, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Sosialis Alternatif, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan banyak lagi.

“Kami mendukung hak para doktor untuk mengambil langkah mogok bagi mengedepankan tuntutan gaji serta keadaan kerja mereka. Malaysia mempunyai undang-undang yang keras dan ianya telah pun digunakan terhadap para pekerja kesihatan yang mogok terdahulu. Polis juga mula mengganggu para doktor yang mendukung Hartal kerana kononnya ia ‘mengancam keharmonian’,” kata kenyataan bersama tersebut. “Kesihatan adalah hak asasi manusia. Setiap orang berhak mendapatkan sistem kesihatan berkualiti yang mempunyai kakitangan cukup, terlatih serta didanai dengan baik, dengan kos yang rendah atau percuma. Percubaan untuk menyahdana atau menswastakan sistem perubatan adalah serangan terbuka kepada hak ini. Kami bersetiakawan bersama pihak Hartal Doktor Kontrak kerana kami melihat betapa bernilainya sistem perubatan awam. Kami sedar bahawa para doktor mengambil langkah drastik hari ini bagi mempertahankan keupayaan mereka untuk menyelamatkan nyawa di masa hadapan.”

“Pekerja kesihatan Malaysia sekarang sedang mengharungi ombak ketiga COVID-19, yang dicetuskan oleh kegagalan ahli politik kita dalam menjaga garis panduan kesihatan. Sistem kesihatan kita juga berada dalam keadaan kritikal,” katanya lagi kenyataan bersama ini. “Kami mendesak Perdana Menteri Mahiaddin Yassin dan kerajaannya untuk mempersetujui tuntutan para doktor dengan serta merta serta menghentikan ancaman kepada para pekerja kesihatan.”

Aksi protes doktor kontrak di Hospital Sungai Buloh. (Foto oleh Zikri Rahman / Malaysia Muda)

Satu kempen protes atas talian yang bergelar “Kod Hitam” (Code Black) juga diadakan pada 1-12 Julai 2021, melalui penularan hantaran media sosial dengan tanda pagar #CodeBlackMY, #saveMYcontractHCW dan #BlackMondayMY, untuk menyatakan sokongan kepada tuntutan doktor-doktor kontrak untuk jaminan kerja.

Sebagai respon kepada tekanan hebat daripada kempen Hartal Doktor Kontrak ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan cadangan penyelesaian untuk masalah doktor kontrak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Julai 2021, iaitu menawarkan pelanjutan kontrak untuk 2 tahun lagi bagi doktor kontrak selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib, melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum 4 tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak 2 tahun pertama, pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan, dan juga menambah baik kemudahan kepada pegawai kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Namun begitu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak berpandangan bahawa penyelesaian yang ditawarkan oleh Perdana Menteri itu ialah sesuatu yang pendek akal dan tidak menangani isu yang sebenarnya berkaitan dengan sistem kontrak yang tidak memberi jaminan kerja kepada para doktor. Ini kerana isu ketiadaan jaminan kerja tidak akan diselesaikan dengan hanya sekadar memanjangkan tempoh kontrak.

Mengulas mengenai aksi protes Hartal Doktor Kontrak, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, berkata, “Punca kepada krisis ini ialah kapitalisme neoliberal. Ia berkaitan dengan pengeluaran (graduan doktor) berlebihan, penjimatan kos dan ketiadaan jaminjan kerja.”

“Ketika ini ialah masa yang terbaik dan masa yang paling teruk. Masa terbaik untuk mengadakan aksi mogok kerana wujudnya keadaan objektif. Masa yang paling teruk untuk melakukannya kerana pandemik dan nyawa rakyat sedang dipertaruhkan dan bukannya kerugian ekonomi seperti kebanyakan mogok yang lain. Memang wujudnya banyak dilema,” kata Arutchelvan. “Hari ini, ramai rakyat menyokong aksi protes ini kerana mereka melihat doktor-doktor kontrak ini sebagai petugas barisan hadapan. Saya berharap juga doktor-doktor ini akan memahami bahawa ini merupakan masalah sistem dan menjadi seorang doktor yang berkesedaran untuk berjuang demi kesihatan yang lebih baik bagi semua.”

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

3 thoughts on “Doktor kontrak berprotes tuntut jaminan kerja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *