Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Krishna, seorang balu yang berumur 38 tahun, menelefon saya semalam kerana Lembaga Air Perak (LAP) telah memotong bekalan airnya. Bil air yang tidak dibayarnya mencecah RM400. Suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya pada 5 tahun dahulu dan dia datang ke pusat khidmat PSM di Sungai Siput pada masa itu untuk meminta bantuan memohon “pencen penakat” daripada PERKESO. Oleh sebab perkahwinan mereka tidak didaftarkan, PERKESO hanya meluluskan RM500 sebulan kepadanya kerana dia mempunyai seorang anak. Krishna sekarang tinggal bersama dengan anaknya yang berumur 6 tahun, seorang anak saudara berumur 25 tahun bernama Shamala yang tiada kewarganegaraan (kerana emaknya tidak mempunyai dokumen), anak kakak mendiang suami Krishna yang berumur 8 bulan (seorang bayi yang juga tiada kewarganegaraan kerana dia dilahirkan di Singapura) dan seorang lagi anak saudara berumur 15 tahun yang emaknya tinggal di Singapura.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan buruk kepadanya. Krishna dan Shamala bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di dalam restoran di Sungai Siput. Kerja itu ialah kerja kontrak sifar-jam, iaitu kerja di mana anda hanya dibayar apabila majikan perlukan anda untuk bekerja pada hari itu; jika tidak, anda akan pulang ke rumah tanpa sebarang bayaran. Kadar bayaran gaji sekarang ini ialah RM35 sehari untuk syif 8 pagi hingga 5 petang. (Walaupun jika seseorang bekerja 26 hari sebulan, pendapatan sebulannya hanya RM910 – jauh lebih rendah daripada gaji minimum RM1,200. Namun, mereka tidak boleh mengadu. Jika mereka dikenalpasti sebagai “pembuat kacau”, maka tiada gerai makanan akan mengupah mereka. Pemilik-pemilik gerai tiada masalah untuk mencari pencuci-pencuci pinggan mangkuk. Terdapat ramai wanita seperti Krishna yang bersedia untuk diupah.)

Setiap kali PKP dikuatkuasakan, pendapatan untuk dua orang wanita ini akan menurun. Restoran tidak memerlukan pencuci pinggan mangkuk apabila hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang. Krishna cuba mendapatkan kerja sebagai pekerja pembersihan hospital tetapi tiadanya jawatan kosong. Shamala menghadapi lebih banyak kesukaran dalam mencari kerja kerana dia tidak mempunyai kad pengenalan warganegara.

Krishna berhutang dalam bil elektrik dan sewa rumah (RM350 sebulan) yang tidak dibayar. Oleh sebab pendapatan yang tidak stabil dan keperluan untuk menyara kehidupan tiga orang kanak-kanak di dalam rumahnya, Krishna mempunyai hutang terkumpul sebanyak RM5,000 dengan seorang peminjam wang tempatan, dan sekarang ini membayar faedah bulanan sebanyak 10% untuk hutang itu. Dia terpaksa menyerahkan kad ATM bagi akaun bank di mana pencen penakat PERKESO itu dibayar. Peminjam wang itu mengambil semua RM500 yang dibayar bulanan itu sebagai faedah untuk pinjamannya.

Situasi yang dihadapi oleh Krishna ini bukannya sesuatu yang unik. Terdapat beribu-ribu keluarga B20 (yang terdiri daripada semua kumpulan etnik – ini bukannya sekadar masalah masyarakat India) seperti mereka ini di seluruh negara, di mana kehidupan mereka yang tidak menentu itu menjadi lebih sukar lagi kerana PKP. Ia menjejaskan nutrisi (dia menghadapi masalah membeli susu untuk bayi), kesihatan (Krishna menghidap penyakit kencing manis dan sudah mengalami ulser kronik pada satu kakinya) dan pendidikan mereka (mereka tidak mampu membeli telefon pintar dan membayar perkhidmatan data internet untuk pendidikan atas talian anak saudara Krishna).

Adalah tidak berguna hanya sekadar melaungkan “kita jaga kita” sekiranya kita tidak menangani realiti bahawa PKP mempengaruhi lapisan masyarakat yang berbeza dengan kesan yang berbeza. Pesara berpencen seperti saya tidak selesa dengan sekatan pergerakan tetapi pendapatan kami terjamin. Kakitangan kerajaan juga lebih kurang sama dilindungi. Pekerja-pekerja formal dalam sektor swasta secara keseluruhannya mendapat bantuan daripada skim subsidi pekerjaan dan mempunyai pilihan untuk mengeluarkan sebahagian simpanan KWSP mereka. Namun, ramai pekerja dalam sektor informal mengalami penurunan yang signifikan dalam pendapatan mereka. Satu kajian oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Kuala Lumpur mendapati bahawa separuh daripada 500 buah keluarga B20 yang ditinjau mengalami penurunan pendapatan sebanyak 30% atau lebih besar lagi semasa PKP yang pertama dengan separuh daripada mereka mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan.

Pekerja-pekerja bergaji harian seperti Krishna, pengusaha-pengusaha gerai kecil dan lain-lain lagi dalam sektor informal adalah paling teruk terjejas oleh PKP, dan wujudnya keperluan untuk memberikan bantuan kewangan bersasar kepada mereka. Memberi bayaran seperti Bantuan Prihatin Rakyat dua kali setahun adalah tidak mencukupi. Mereka akan terus tenggelam dalam hutang dan terpaksa mengurangkan perbelanjaan ke atas keperluan asas seperti makanan dan kesihatan.

PSM telah menyeru untuk melaksanakan program sokongan pendapatan bersasar untuk keluarga-keluarga yang kedua-dua ibu bapa bukannya kakitangan kerajaan atau pencarum KWSP/PERKESO yang aktif. Kami menjangkakan terdapat lebih kurang 750,000 buah keluarga (10% daripada jumlah isi rumah di Malaysia) berada dalam kategori ini. Pemindahan wang sebanyak RM500 sebulan kepada ibu dalam keluarga ini akan memerlukan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM375 juta sebulan ataupun RM4.5 bilion setahun. Ini merupakan satu jumlah yang besar, tetapi jauh lebih rendah berbanding RM10 bilion yang telah digunakan setiap kali Bantuan Prihatin Rakyat dibayar kepada lebih kurang 10 juta penerima (sudah tiga kali setakat ini). Pesara-pesara berpencen, kakitangan-kakitangan kerajaan dan pekerja-pekerja sektor formal juga memenerima bayaran ini walaupun ramai dalam kalangan mereka tidak mengalami penurunan dalam pendapatan mereka. Keluarga seperti Krishna yang disebut di atas perlukan lebih banyak bantuan. Program sokongan pendapatan yang bersasar akan banyak membantu keluarga-keluarga ini. Tambahan pula, ia akan meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha gerai kecil dengan membekalkan satu pasaran yang lebih mendalam untuk mereka.

“Kita jaga kita” ialah satu slogan yang sangat baik. Marilah kita melobi ahli-ahli parlimen dan kerajaan kita untuk cakap biar serupa bikin dengan melaksanakan program sokongan pendapatan bersasar yang disebut di atas. Nampaknya kita memerlukan pelaksanaan PKP dari semasa ke semasa dalam setahun akan datang ini, memandangkan program vaksinasi yang perlahan, keraguan terhadap vaksi dalam kalangan sebahagian populasi, penularan pandemik dalam kalangan populasi migran tanpa dokumen sejumlah 5 juta orang dan kemungkinan kita berhadapan dengan varian COVID-19 yang baharu yang tidak terkesan oleh antibodi yang dijana oleh vaksin sekarang ini. Kita perlu memastikan bahawa mereka yang paling terjejas oleh PKP diberikan sokongan yang diperlukan oleh mereka.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *