(Siri “Malaysia Bekerja” – 3)

oleh Sharan Raj

Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menjana 500,000 pekerjaan tanpa polisi kukuh merupakan sebuah gimik politik. Kekurangan pengetahuan ekonomi rakyat dan menjana pekerjaan oleh Zafrul sedang menyebabkan rakyat merana.

Kerajaan perlu mengambilalih dan menambah pekerja penyelenggaraan seperti pekerja pembersihan awam, pekerja pembersihan hospital, tukang kebun, pengawal keselamatan dan sebagainya. Pada pertengahan tahun 1990-an, Mahathir telah menswastakan pekerjaan tersebut untuk memberikan kontrak yang menguntungkan kepada kontraktor kroni politik.

Kebanyakan kroni politik telah menjadi kaya-raya tetapi pekerja perkhidmatan sokongan di sektor awam dihumban ke dalam kancah kemiskinan.

Kontraktor kroni politik telah menggantikan pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan dengan pekerja migran untuk menekan gaji pekerja. Rentetan, tindakan kontraktor kroni politik telah meningkatkan pengangguran dalam kalangan B40, melebarkan jurang kaya-miskin, kemerosotan perkhidmatan kerajaan dan meningkatkan pengaliran keluar matawang.

Kerajaan perlu menasionalisasikan pekerjaan perkhidmatan sokongan dan membayar gaji yang berpatutan secara langsung kepada pekerja, bukannya lagi menyumberkan luar pengupahan mereka kepada kontraktor kroni politik. Menasionalisasikan pekerjaan perkhidmatan sokongan adalah murah berbanding dengan sistem kontrak yang sedia ada.

Menurut kajian Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), menasionalisasikan semula pengawal keselamatan sekolah harian sahaja boleh meningkatkan gaji pekerja sebanyak 50%, mencipta 50% lebih pekerjaan dan kerajaan akan menjimat RM200 juta berbanding sistem kontrak yang sedia ada.

Menasionalisasikan pekerjaan perkhidmatan dan mengeluarkannya daripada cengkaman kontraktor kroni politik akan meningkatkan gaji pekerja dan menarik lebih ramai warganegara untuk bekerja dalam sektor ini. Ini akan menurunkan kadar pengangguran dan menjimat dana kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion Ringgit.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

==========

Tulisan lain dalam siri “Malaysia Bekerja”:

Perkenalkan skim pendapatan asas untuk rangsang ekonomi

Dasar strategik untuk rangsang pembangunan industri baharu

2 thoughts on “Malaysia Bekerja: Nasionalisasi semula kerja perkhidmatan sokongan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *