(Siri “Malaysia Bekerja” – 1)

oleh Sharan Raj

Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menjana 500,000 pekerjaan tanpa polisi kukuh merupakan sebuah gimik politik. Kekurangan pengetahuan mengenai ekonomi rakyat dan penjanaan pekerjaan oleh Zafrul sedang menyebabkan rakyat merana.

Pekerjaan wujud apabila pengeluaran barangan dan perkhidmatan ditingkatkan untuk memenuhi permintaan pengguna. Maka, Kerajaan PN perlu memberi fokus untuk meningkatkan permintaan pengguna.

Pihak swasta telah mengumpul keuntungan untuk berdekad-dekad lamanya dan tidak menghadapi krisis ketandusan modal, maka kerajaan tidak perlu memberikan wang percuma kepada pihak swasta.

Kerajaan PN telah memberikan beratus-ratus bilion kepada pihak swasta dalam bentuk insentif, pelepasan cukai, subsidi gaji dan sokongan hutang. Namun, pekerja formal dan tidak formal terus hilang pendapatan dan pekerjaan kerana kemerosotan permintaan pengguna.

Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperjuangkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) selama 3 tahun sebelum diperkenalkan pada tahun 2018 sedang menyelamatkan pekerja formal yang hilang kerja ketika ini.

Namun, separuh daripada 1.36 juta pekerja tidak formal di Malaysia seperti pencuci pinggan mangkuk, pemandu pelancong persendirian, pemandu bas persiaran persendirian, penjaga kanak-kanak dan penyayuh beca sedang merana teruk.

Kehilangan punca pendapatan untuk 15% isi rumah di Malaysia telah menurunkan permintaan pengguna nasional. Pada ketika golongan teratas 20% (T20) terus membeli kenderaan baru, golongan terbawah 20 (B20) tidak mampu membeli sekampit beras.

Kerajaan PN perlu memperkenalkan Pendapatan Asas Sejagat Bersasar (Modified Universal Basic Income, MUBI) untuk memberikan pendapatan bulanan kepada isi rumah tanpa pendapatan dan ibu tunggal supaya mereka dapat membeli barangan asas demi memulihkan permintaan pengguna.

Rentetan itu, pihak swasta akan meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk menepati peningkatan permintaan. Kerajaan PN diseru untuk melaksanakan MUBI serta-merta untuk menghentikan kemerosotan permintaan pengguna dalam kalangan B20 untuk mencipta pekerjaan.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Setiausaha PSM Melaka.

==========

Tulisan lain dalam siri “Malaysia Bekerja”:

Dasar strategik untuk rangsang pembangunan industri baharu

Nasionalisasi semula kerja perkhidmatan sokongan

2 thoughts on “Malaysia Bekerja: Perkenalkan skim pendapatan asas untuk rangsang ekonomi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *