(foto: Twitter SAFTU)

Ratusan ribu pekerja Afrika Selatan mengambil bahagian dalam mogok besar-besaran yang diadakan pada 24 Februari 2021. Mogok umum yang diadakan oleh Persekutuan Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (SAFTU) yang terdiri daripada 24 buah kesatuan sekerja ini mengetengahkan tuntutan pekerja untuk perubahan radikal terhadap dasar ekonomi negara Afrika Selatan, termasuk pemiliknegaraan semua industri monopoli yang strategik dan gaji minimum mampu sara hidup sekurang-kurangnya R12,500 (bersamaan lebih kurang RM3,300 mengikut kadar pertukaran matawang semasa).

Oleh sebab masih berkuatkuasanya perintah kawalan pergerakan di Afrika Selatan kerana pandemik COVID-19, SAFTU telah menyeru pekerja yang bermogok untuk tinggal di rumah dan tidak hadir ke tempat kerja. Namun begitu, masih terdapatnya ramai ahli kesatuan sekerja mengadakan aksi demonstrasi di bandar-bandar utama di seluruh Afrika Selatan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan wabak, seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal. Adalah dianggarkan bahawa jumlah pekerja yang bermogok pada 24 Februari 2021 jauh melebihi keanggotaan SAFTU yang berangka lebih kurang 800,000 orang.

Di wilayah Gauteng, pekerja-pekerja daripada kilang pembuatan keluli ArcelorMittal mengadakan perarakan menuju ke pejabat syarikat itu di bandar Vanderbijlpark, untuk memprotes terhadap keadaan kesihatan dan keselamatan yang teruk di tempat kerja, di mana terdapat 3 orang pekerja mati dalam satu letupan yang menyebabkan keruntuhan bangunan kilang baru-baru ini. Di Johannesburg, peserta aksi protes berkonvoi dari pejabat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Logam Afrika Selatan (NUMSA) di Marshalltown ke Hospital Chris Hani Baragwanath untuk berpiket di situ dan menyatakan sokongan kepada pekerja-pekerja kesihatan yang sedang berjuang untuk mendapatkan kelengkapan perlindungan yang lebih baik.

Di wilayah Cape Barat, pihak polis menyerang demonstran yang berprotes di jalanan dengan menembak gas pemedih mata dan menahan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Dalam kenyataan yang mengecam tindakan pihak polis menangkap pemimpin kesatuan, Zwelinzima Vavi, Setiausaha Agung SAFTU, berkata, “Semua anggota kami mempunyai pelitup muka, pencuci tangan dan mematuhi penjarakan sosial. Akan tetapi, pihak polis masih datang dengan dua baris kawat berduri, mengepung demonstran, dan mengarahkan mereka untuk bersurai.” Vavi membandingkan layanan secara ganas terhadap anggota kesatuan yang berprotes dengan layanan yang diberikan oleh pihak polis kepada golongan kaya yang berada di pantai Cape Town yang enggan memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan sosial, di mana polis bukan sahaja tidak membawa kawat berduri, belantan, senapang dan penyembur lada, sebaliknya Presiden Afrika Selatan tergesa-gesa mengumumkan pencabutan larangan berenang di tempat pelancongan, membenarkan restoran untuk menjual minuman keras, dan memenuhi kebanyakan tuntutan kelas kapitalis. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dasar apartheid telah dihapuskan secara rasminya pada tahun 1994, rasisme dan ketidakadilan masih wujud, dengan pihak berkuasa terus mengamalkan dwistandard berasaskan kelas sosial.

Kelas pekerja Afrika Selatan amat tidak berpuas hati dengan masalah seperti pemberhentian pekerja secara besar-besaran, pembekuan gaji dan dasar “penjimatan” yang melibatkan pengurangan perbelanjaan sosial pada ketika negara sedang dilanda pandemik koronavirus. Pihak majikan dalam kedua-dua perusahaan milik swasta dan milik negara, telah memberhentikan pekerja secara besar-besaran. Banyak antara pemberhentian kerja tersebut telah dirancang beberapa bulan sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, dan pihak majikan menggunakan kesempatan penularan pandemik untuk melakukannya dengan lebih ganas lagi. Pada masa yang sama, Kerajaan Afrika Selatan meneruskan serangan terhadap golongan pekerja dengan melaksanakan pengurangan perbelanjaan sosial dan kenaikan cukai ke atas golongan miskin walaupun apa yang diperlukan oleh golongan pekerja pada masa kini adalah gaji yang mampu sara hidup. Semasa pandemik koronavirus melanda Afrika Selatan, lebih kurang 2.2 juta pekerjaan telah hilang dan jumlah warga Afrika Selatan yang digolong sebagai “tidak aktif secara ekonomi” telah melebihi 5 juta orang. Oleh sebab amalan penyumberan luar dan kontrak jam-sifar yang semakin berleluasa, pekerjaan-pekerjaan yang wujud menjadi semakin tidak terjamin.

SAFTU menganjurkan aksi mogok ini bersempena dengan hari pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan Afrika Selatan, untuk menyatakan keperluan melakukan perubahan drastik dalam dasar ekonomi negara supaya ia mampu menangani krisis teruk yang sedang dihadapi oleh golongan pekerja di Afrika Selatan. Selain mengemukakan tuntutan seperti pemiliknegaraan industri strategik dan gaji minimum yang mampu sara hidup, SAFTU juga menuntut supaya melaksanakan “Geran Pendapatan Asas R1,500”, perkhidmatan kesihatan komuniti dan perumahan awam, serta menghalang semua pengusiran. Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh SAFTU ini bukan sahaja terhad kepada sektor-sektor pekerja yang diorganisasinya, tetapi merentasi sektor-sektor yang lebih meluas lagi, tanpa mengira anggota kesatuan ataupun bukan anggota kesatuan.

Kongres Kesatuan Sekerja Afrika Selatan (COSATU), gabungan kesatuan sekerja yang terbesar di Afrika Selatan, walaupun tidak memobilisasi anggotanya untuk menyertai mogok pada 24 Februari 2021, tetapi telah menyatakan sokongannya terhadap mogok yang dianjurkan oleh SAFTU ini. Sizwe Pamla, Jurucakap Nasional COSATU, berkata dalam kenyataannya, “COVID-19 telah mendedahkan kelemahan Neoliberalisme. Ia adalah penting untuk pekerja-pekerja bersatu dan bekerjasama untuk menuntut satu kerangka makroekonomi alternatif yang menghala ke arah menangani keperluan asas rakyat. Pekerja-pekerja menuntut transformasi ekonomi, pengukuhan perkhidmatan awam, dan usaha baharu untuk membina sebuah negara membangun yang berkemampuan supaya dapat menangani cabaran bertiga, iaitu pengangguran, kemiskinan dan ketidaksamarataan dalam masyarakat kita.”

COSATU dan SAFTU pernah bekerjasama dalam menganjurkan aksi mogok umum pada 7 Oktober 2020, sesuatu yang agak bersejarah dalam membina perpaduan kelas pekerja merentasi garis ideologi di negara Afrika Selatan. Kerjasama sebegini akan diteruskan memandangkan dasar pemerintahan Kerajaan Kongres Nasional Afrika (ANC) semakin terpisah daripada kepentingan kelas pekerja di Afrika Selatan.

SAFTU menyeru untuk meningkatkan mobilisasi massa yang mendesak Kerajaan Afrika Selatan supaya:

  • Merombak dasar sosio-ekonomi negara, untuk beralih daripada matlamat mengejar keuntungan yang sempit, kepada memenuhi keperluan masyarakat untuk pekerjaan yang bergaji mampu sara hidup, kedaulatan makanan, perumahan, kesihatan, pendidikan, pakaian, kecekapan tenaga, penyesuaian krisis iklim, dan sebagainya.
  • Dasar fiskal dan kewangan harus diubah supaya kerajaan mempunyai sumber-sumber untuk memimpin pembangunan masyarakat dan dengan itu “menarik masuk” pelaburan swasta, oleh sebab pemindahan pendapatan kepada golongan termiskin mempunyai “pengganda” yang lebih besar khususnya untuk barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan secara tempatan. Ini ialah satu-satu caranya dapat membina semula asas pembuatan dan mengindustri semula ekonomi.
  • Mengumumkan moratorium mengenai kehilangan pekerjaan dan mewujudkan pakej rangsangan yang sebenar untuk menggantikan belanjawan penjimatan yang dahsyat pada masa kini, sementara menerima hakikat bahawa tiada pemulihan ekonomi tanpa langkah-langkah yang membantu golongan miskin.

“Untuk mencapai kejayaan, kelas pekerja dan sekutu-sekutu kami – warga Afrika Selatan yang patriotik yang menyaksikan neoliberalisme yang begitu zalim, korupsi kerajaan dan korporat, dan keangkuhan yang tiada belas kasihan dalam kalangan kelas pemerintah – harus bersatu, kerana kita tiada apa-apa yang akan hilang kecuali rantai kita,” begininya seruan SAFTU untuk meneruskan perjuangan kelas pekerja Afrika Selatan.

One thought on “Afrika Selatan: Pekerja bermogok tuntut perubahan dasar yang radikal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *