(sumber foto: Prachatai)

Rakyat Thailand yang berprotes secara besar-besaran sejak tahun lalu untuk menuntut pembaharuan demokratik, terus beraksi di jalanan apabila mahkamah menafikan ikat jamin untuk 4 orang aktivis pro-demokrasi yang ditahan baru-baru ini.

4 orang aktivis pro-demokrasi, Parit Chiwarak, Anon Nampa, Somyot Pruksakasemsuk dan Patiwat Saraiyaem, telah didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Jenayah Thailand, iaitu undang-undang lèse majesté yang sering digunakan untuk melenyapkan suara kritikan terhadap golongan pemerintah di negara Thailand. Pendakwaan terhadap mereka adalah berkaitan dengan penglibatan mereka dalam aksi protes pro-demokrasi tahun lepas. Mahkamah telah menafikan ikat jamin untuk 4 orang aktivis tersebut pada 9 Februari 2021. Mereka sedang ditahan di Penjara Reman Bangkok sekarang ini.

Selain 4 orang yang ditahan ini, terdapat lebih 50 orang lagi sudah pun didakwa di bawah undang-undang lèse majestè kerana penglibatan mereka dalam aksi protes menuntut pembaharuan demokratik di Thailand. Undang-undang lèse majestè di Thailand mengharamkan segala bentuk ekspresi yang dianggap memfitnah, menghina atau mengancam kerabat diraja Thailand. Negara Thailand merupakan satu-satunya negara raja berperlembagaan di dunia yang memperketatkan undang-undang lèse majestè sejak Perang Dunia II. Hukuman di bawah undang-undang lèse majestè Thailand ialah penjara dari 3 hingga 15 tahun untuk setiap pertuduhan. Undang-undang ini telah digunakan oleh Kerajaan Thailand selama ini untuk melenyapkan suara yang mengkritik golongan berkuasa, khususnya pihak tentera yang sering merampas kuasa.

Berikutan penolakan ikat jamin 4 orang aktivis pro-demokrasi, aksi protes kembali di jalanan Bangkok. Pada 11 Februari 2021, lebih seribu orang berprotes di pusat bandar Bangkok dengan membawa peralatan memasak seperti periuk nasi. Mereka memukul periuk untuk mengeluarkan bunyi. Mereka berprotes untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kesusahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat Thailand pada masa kini dan menuntut pembebasan aktivis yang ditahan. Aksi protes dengan demonstran memukul periuk ini mendapat inspirasi daripada aksi protes di Myanmar baru-baru ini. Terdapat juga demonstran yang menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Myanmar yang menentang kudeta tentera baru-baru ini.

Ribuan demonstran beraksi pada 13 Februari 2021 di Tugu Peringatan Demokrasi yang terletak di Lebuh Ratchadamnoen, Bangkok. Mereka yang berprotes menulis mesej bantahan mereka di atas sekeping kain merah besar dan kemudiannya membalut Tugu Peringatan Demokrasi dengan kain merah besar itu. Pihak polis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan para demonstran di jalanan Bangkok pada waktu malam. Penganjur protes mengatakan bahawa mereka akan berprotes dalam jumlah yang lebih besar lagi sekiranya aktivis yang ditahan tidak dibebaskan dalam tempoh 7 hari.

Negara Thailand telah dilanda gelombang protes besar-besaran pada tahun lepas. Protes yang diterajui oleh golongan anak muda ini tercetus selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan Parti Maju Masa Depan (sebuah parti pembangkang yang lantang bersuara melawan kekuasaan pihak tentera) pada bulan Februari 2020. Gerakan pro-demokrasi yang hebat ini mengemukakan tuntutan seperti pengunduran Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri untuk pilihanraya baharu, menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan perlembagaan sekarang yang bersifat autoritarian, menghentikan gangguan terhadap rakyat yang bersuara mengkritik kerajaan dan melakukan pembaharuan terhadap sistem monarki Thailand. Prayut pernah cuba mengisytihar darurat yang diperketatkan pada bulan Oktober 2020 tetapi gagal menyekat rakyat daripada terus berprotes di jalanraya.

(Dari kiri ke kanan) Somyot Pruksakasemsuk, Parit Chiwarak, Anon Nampa dan Patiwat Saraiyaem

Organisasi kiri serantau mendesak pembebasan aktivis pro-demokrasi Thailand

Banyak organisasi antarabangsa telah menyeru untuk membebaskan aktivis pro-demokrasi Thailand yang didakwa di bawah undang-undang lèse majestè yang anti-demokratik. Organisasi-organisasi kiri di Asia Tenggara juga mengemukakan tuntutan yang serupa, dan turut disokong oleh organisasi-organisasi di luar rantau ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama dengan organisasi kiri yang lain seperti Partai Rakyat Pekerja (PRP) dari Indonesia, Socialist Workers dari Thailand dan Parti Massa Pekerja (PLM) dari Filipina mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 13 Februari 2021, dengan seruan membebaskan semua tahanan politik di Thailand dan memansuhkan undang-undang lèse majestè yang anti-demokratik.

“Ini ialah cubaan pendakwaan bermotifkan politik yang terbaru oleh kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha terhadap aktivis-aktivis pro-demokrasi yang telah menyuarakan tuntutan mereka sejak tahun lepas melalui mobilisasi jalanan secara besar-besaran, untuk perubahan secara berperlembagaan yang demokratik, pemberhentian penggunaan undang-undang zalim dalam melenyapkan suara pembangkang dan perletakan jawatan rejim Prayut supaya memberi laluan kepada pilihanraya demokratik yang baharu. Rejim Prayut nampaknya berniat untuk terus berkuasa melalui penggunaan kaedah penangkapan dan pendakwaan di bawah undang-undang lèse majestè secara berterusan,” begitu katanya kenyataan bersama daripada organisasi-organisasi kiri antarabangsa.

PSM dan organisasi-organisasi kiri antarabangsa menyeru untuk:

  • Membebaskan segera Parit Chiwarak, Anon Nampa, Somyot Pruksakasemsuk dan Patiwat Saraiyaem, begitu juga dengan tahanan politik yang lain;
  • Menggugurkan pendakwaan terhadap semua aktivis pro-demokrasi di Thailand;
  • Menghentikan intimidasi terhadap aktiviti pro-demokrasi di Thailand;
  • Memansuhkan undang-undang lèse majestè yang zalim dan undang-undang represif yang lain di Thailand;
  • Merealisasikan tuntutan-tuntutan untuk pembaharuan demokratik yang dibawa oleh gerakan pro-demokrasi di Thailand.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *