Pilihanraya parlimen Venezuela yang akan diadakan dalam keadaan menghadapi kesulitan yang hebat, merupakan satu langkah penting dalam usaha pemulihan demokratik terhadap institusi negara itu daripada ancaman golongan pembangkang berhaluan kanan yang disokong oleh imperialis Amerika Syarikat (AS).

Rakyat Venezuela akan mengundi pada 6 Disember 2020 akan datang ini, untuk memilih 277 orang perwakilan ke dalam Perhimpunan Kebangsaan, iaitu Parlimen Venezuela. Ini merupakan pengundian umum yang ke-25 diadakan dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini sejak pemilihan Hugo Chávez menjadi Presiden Venezuela pada tahun 1998 yang memulakan proses Revolusi Bolivar. Media arus perdana di peringkat antarabangsa yang pro-imperialis biasanya menggambarkan Venezuela yang melalui proses Revolusi Bolivar sebagai sebuah negara yang diperintah oleh diktator, sama ada semasa zaman Chávez atau Nicolás Maduro; namun hakikatnya rakyat Venezuela telah terus mengundi dalam pilihanraya untuk memperdalamkan demokrasi di negara itu. Sejak Chávez menjadi Presiden, kerajaan AS dan sekutunya telah menggunakan segala taktik yang kotor untuk menjatuhkan kerajaan Venezuela dan cuba menggagalkan Revolusi Bolivar, demi melindungi kepentingan oligarki dan kuasa imperialis. Semasa puak pembangkang berhaluan kanan menang dalam pilihanraya parlimen pada tahun 2015, mereka tiada masalah dengan sistem pilihanraya di Venezuela, tetapi apabila mereka menyedari bahawa mereka tidak dapat menewaskan kerajaan Bolivar yang mendapat sokongan kuat daripada rakyat melalui peti undi, maka kerajaan AS dan sekutunya serta orang suruhannya yang membentuk puak pembangkang berhaluan kanan di Venezuela akan menggunakan segala cara untuk menyahstabilkan negara Venezuela dan enggan mengiktiraf kerajaan yang dipilih secara demokratik.  

Budak suruhan Washington enggan menghormati proses demokrasi

Selepas puak pembangkang berhaluan kanan yang bergabung dalam “Meja Bulat Perpaduan Demokratik” (MUD) menang dalam pilihanraya parlimen pada tahun 2015 (menguasai 109 daripada 167 kerusi Perhimpunan Kebangsaan), mereka bukannya menjalankan tanggungjawab perlembagaan mereka untuk memerintah bersama-sama dengan Nicolás Maduro, sebaliknya sebahagian daripada puak pembangkang ini rela beroperasi sebagai sayap kepada Kedutaan AS di Caracas. Perhimpunan Kebangsaan yang didominasi oleh puak pembangkang berhaluan kanan telah menimbulkan pelbagai masalah untuk menyahstabilkan negara Venezuela dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Presiden Maduro. Salah seorang ahli parlimen pembangkang berhaluan kanan, Juan Guaidó, telah menjelma sebagi alat untuk cubaan rampasan kuasa yang dirancang oleh imperalis AS selepas Pilihanraya Presiden Venezuela pada tahun 2018. Kerajaan AS enggan mengiktiraf Nicolás Maduro sebagai Presiden Venezuela, sebaliknya menyokong Guaidó yang sendiri mengisytihar dirinya sebagai Presiden Venezuela sejak bulan Januari 2019 tanpa melalui apa-apa proses pemilihan demokratik.

Dengan tempoh 5 tahun untuk satu penggal Perhimpunan Kebangsaan akan tamat pada 5 Januari 2021, pilihanraya parlimen telah dijadualkan pada 6 Disember 2020. Namun, sesetengah puak pembangkang yang sudi menjadi budak suruhan Washington, seperti Guaidó, telah memutuskan sejak awal lagi untuk memboikot pilihanraya dengan dakwaan bahawa akan wujudnya penipuan dalam pilihanraya tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh. Bagi puak pembangkang berhaluan kanan yang diketuai oleh Guaidó dan disokong oleh kuasa imperalis AS, memenangi pilihanraya adalah kurang penting berbanding dengan menggunakan segala cara yang boleh untuk merosakkan proses pilihanraya dan demokrasi demi mengembalikan kekuasaan oligarki yang pro-imperialis.

Kerajaan AS telah mencampurtangan secara aktif dalam pilihanraya parlimen Venezuela dengan niat menggagalkan proses demokrasi di negara itu. Pada bulan September 2020, Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas empat orang pegawai kerajaan Venezuela, termasuk dua orang pegawai Majlis Pilihanraya Kebangsaan (CNE), Indira Maira Alfonzo Izaguirre dan José Luis Gutiérrez Parra. Indira Alfonzo ialah Presiden CNE dan merupakan seorang bekas hakim yang mempunyai hubungan agak lama dengan golongan pembangkang. Namun, kerajaan AS mendakwa bahawa pegawai-pegawai ini terlibat dalam “rancangan jahat mencampurtangan dalam pilihanraya untuk menghalang pilihanraya parlimen yang bebas dan adil daripada diadakan pada bulan Disember 2020”, tanpa mengemukakan bukti. Campurtangan AS dalam pilihanraya Venezuela ini diteruskan dengan mengenakan sekatan terhadap lima orang pemimpin pembangkang Venezuela yang memutuskan untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya, dengan tuduhan bahawa mereka “bersubahat” dalam pilihanraya. Nampaknya hanya pembangkang Venezuela yang mendengar arahan Washington sepenuhnya baru layak digelar pembangkang oleh imperialis AS, bukannya pembangkang yang hendak melibatkan diri dalam proses demokrasi.

Campurtangan AS yang mengancam demokrasi ini turut tidak disenangi oleh ramai orang dalam parti-parti pembangkang di Venezuela. Mereka yang sudah bosan dengan tingkah laku budak suruhan Washington seperti Guaidó, telah menyeru pada kepimpinan parti mereka untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya parlimen.

Hormati demokrasi dan kedaulatan Venezuela

Lebih 14,000 orang calon daripada 107 buah organisasi politik (antaranya 98 buah organisasi ialah parti pembangkang) telah menyertai pilihanraya parlimen Venezuela kali ini.

Jaringan Eropah Solidariti Dengan Venezuela telah menyerahkan satu petisyen kepada Kesatuan Eropah pada 1 Disember 2020, dengan seruan “Kesatuan Eropah harus menghormati keputusan pilihanraya dewan perundangan di Venezuela”.

Jaringan Penyelarasan Antarabangsa Minggu Anti-Imperialis juga mengeluarkan satu kenyataan yang menyeru supaya menghormati demokrasi dan kedaulatan Venezuela.

“Rakyat sedunia menderita kerana perampasan dan ketidakadilan yang ditimbulkan oleh imperialisme AS. Kita tidak akan lagi bertolak ansur dengan penipuan dan serangan terhadap saudara dan saudari kita yang memutuskan untuk tidak mengikut rancangan White House. Republik Bolivar Venezuela, kerajaannya yang sah dan rakyatnya adalah contoh yang jelas. Hari ini, Venezuela merupakan sasaran hipokrit global kerana pencapaiannya, dan merupakan satu contoh yang bermaruah serta perjuangan anti-imperialis,” begitu bunyinya deklarasi yang disokong oleh organisasi seperti Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA), Parti Kiri Eropah (PIE), Persekutuan Demokratik Antarabangsa Wanita (WIDF), Perarakan Wanita Sedunia, La Via Campesina, Tricontinental: Institute for Social Research, Forum São Paulo dan Gerakan ALBA.

“Demokrasi Venezuela dicirikan oleh penyertaan dan protagonisme rakyat. Tidak seperti demokrasi liberal yang palsu di negara-negara yang mempertahankan kudeta dan cubaan campurtangan imperialis, pengundi biasa ialah pelaku yang paling penting. Dalam proses pilihanraya yang sebelum ini apabila calon-calon atau parti-parti pembangkang menang jawatan, sama ada dalam Perhimpunan Kebangsaan, jawatan Gabenor atau jawatan Datuk Bandar, keputusan ini sentiasanya dihormati dan ditegakkan. Ini juga berlaku apabila golongan Chavismo kalah dalam Referendum untuk Pembaharuan Perlembagaan pada tahun 2007. Walaupun telah mengadakan proses pilihanraya yang lebih banyak berbanding kebanyakan negara serantau, demokrasi Venezuela telah diserang secara sistematik dan berterusan oleh negara-negara imperialis dan pesubahat tempatan mereka. Selain tidak menghormati kedaulatan pilihanraya Republik Bolivar, anasir-anasir ini selalunya meminta untuk memperhebatkan lagi ‘sekatan’ terhadap rakyat Venezuela, malah turut serta dalam usaha pemujukan antarabangsa untuk mendorong campurtangan ketenteraan”.

Gerakan anti-imperialis antarabangsa menganjurkan aksi Minggu Anti-Imperialis pada 1-8 Disember 2020 untuk menyokong Pilihanraya Venezuela. Gerakan rakyat antarabangsa ini juga menuntut supaya menghentikan sekatan ekonomi terhadap Venezuela yang memburukkan lagi keadaan kehidupan golongan pekerja di Venezuela khususnya dalam keadaan pandemik COVID-19.

Pilihanraya parlimen Venezuela kali ini adalah penting untuk memulihkan Perhimpunan Kebangsaan yang telah dirosakkan oleh golongan yang sudi menjadi budak suruhan imperialis AS, dan menghentikan agenda melakukan kudeta dengan menggunakan badan perundangan ini. Rakyat Venezuela telah menghadapi pelbagai cabaran dan melalui banyak rintangan untuk mempertahankan kedaulatan demokratik mereka daripada ancaman imperalis sehingga kini. Apa jua keputusan pilihanraya parlimen Venezuela yang akan datang, dengan pilihanraya itu berjaya diadakan, sudah menjadi kemenangan kepada rakyat Venezuela!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *