Evo Morales (kanan) dan Álvaro García Linera (kiri), disambut oleh lebih sejuta orang rakyat Bolivia yang berhimpun di wilayah Cochabamba.

Selepas setahun dijatuhkan oleh kudeta yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat sehingga terpaksa hidup dalam buangan di luar negara, Evo Morales, bekas Presiden Bolivia yang merupakan ketua negara Bolivia pertama yang berasal daripada masyarakat orang asal, bersama-sama dengan Álvaro García Linera, bekas Naib Presiden Bolivia, pulang ke Bolivia dengan sambutan yang meriah. Kepulangan Morales ke Bolivia, menandakan kemenangan kuasa rakyat terhadap kudeta golongan berhaluan kanan.

Lebih sejuta orang rakyat Bolivia yang datang dari seluruh negara berhimpun pada 11 November 2020 di bandar Chimoré yang terletak di wilayah Cochabamba, untuk menyambut kepulangan Morales. Chimoré ialah tempat persinggahan terakhir Morales pada bulan November 2019 sebelum meninggalkan negara Bolivia, dan sekarang beliau kembali semula ke tempat ini, membawa makna penting kepada kejayaan perjuangan rakyat dalam menewaskan kuasa imperialis dan budak suruhannya. Anggota-anggota daripada gerakan masyarakat orang asal, organisasi-organisasi petani, dan kesatuan-kesatuan sekerja, serta perwakilan antarabangsa, turut menghadiri perhimpunan yang penuh bermakna bagi rakyat Bolivia yang gigih memperjuangkan kemerdekaan dan pembebasan masyarakat.

Morales pulang ke Bolivia dari Argentina pada 9 November 2020, dan beliau mengambil masa tiga hari untuk menjelajah lebih 1,100 kilometer, merentasi wilayah Potosí dan Oruro sebelum tiba di Cochabamba.

Morales menulis dalam satu hantaran twitternya, “Setahun yang lalu, kami bertolak dari lapangan terbang Chimoré (meninggalkan Bolivia) dan mengatakan bahawa kami akan pulang dalam berjuta-juta orang. Ini dia kami, berjuta-juta orang hari ini. Bagi pihak mangsa kepada pembunuhan beramai-ramai, mereka yang dianiayai dan hidup dalam buangan, bagi pihak semua yang menderita, kami berterima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang tidak meninggalkan kami.”

Ketika berucap di hadapan orang ramai yang berhimpun di Chimoré, Morales mengucapkan terima kasih kepada rakyat Bolivia yang memberi sokongan yang berterusan dalam perjuangan melawan kudeta golongan berhaluan kanan dan menewaskan imperialisme dengan demokrasi. Morales juga berterima kasih kepada kerajaan Mexico dan Argentina yang memberi perlindungan kepada beberapa orang bekas pemimpin Bolivia dan keluarga mereka.

Morales juga bercakap tentang meneruskan perjuangan melawan imperialisme dan fasisme dengan memperkukuhkan perpaduan negara dan serantau. Morales telah menyeru untuk membina semula Kesatuan Bangsa-bangsa Amerika Selatan (UNASUR) sebagai alternatif untuk mencabar Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) yang dikuasai Amerika Syarikat.

Morales menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan pimpinan Presiden Luis Arce dan Naib Presiden David Choquehuanca daripada “Gerakan Menuju Sosialisme” (MAS) yang baru menang dalam pilihanraya. Morales yakin bahawa kerajaan MAS yang dipilih secara demokratik akan mengembalikan maruah, kedaulatan, kemerdekaan dan kestabilan untuk semua rakyat Bolivia.

Morales akan menetap di kawasan Trópico di Cochabamba, kembali semula kepada kerja-kerja organisasi kesatuan sekerja dan menggunakan pengalamannya untuk terus menyokong proses transformasi yang diterajui oleh MAS.

Morales menyandang jawatan Presiden Bolivia dari tahun 2006 hingga 2019. Walaupun beliau menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2019, tetapi golongan berhaluan kanan telah memobilisasi untuk berprotes dengan dakwaan bahawa terdapat penyelewengan dalam pilihanraya. Golongan berhaluan kanan melancarkan serangan bersifat rasis terhadap penyokong MAS dan menimbulkan kekecohan yang akhirnya membawa kepada kudeta sivik-tentera. Morales dan beberapa pemimpin utama MAS yang diancam keselamatan diri mereka terpaksa meninggalkan negara Bolivia selepas kudeta.

Pilihanraya umum Bolivia diadakan pada 18 Oktober 2020 selepas rejim kudeta cuba menangguhkannya untuk beberapa kali tetapi mendapat tentangan hebat daripada gerakan masyarakat yang melancarkan perjuangan hebat. Walaupun parti pimpinan Morales menghadapi pelbagai penindasan daripada rejim kudeta, calon Presidennya, Luis Acre, yang bergandingan dengan David Choquehuanca, berjaya meraih sebanyak 55.10% undi dalam pusingan pertama pengundian untuk Presiden Bolivia, membolehkan MAS kembali berkuasa dan memberi satu tamparan hebat kepada golongan berhaluan kanan yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat. MAS juga berjaya meraih 75 daripada 130 kerusi Dewan Perwakilan di Parlimen, dan menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Senat. Rakyat Bolivia berjaya menewaskan kudeta dengan peti undi, menampar muka imperialis dengan demokrasi.

One thought on “Bolivia: Morales pulang ke tanahairnya selepas setahun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *