Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat OA Pos Lanai menyerahkan memorandum bantahan kepada JAKOA pada 7 September 2020. (foto oleh Azneal Ishak / Malaysiakini)

oleh Jeffry bin Hassan

1. Kami ingin mengucapkan terima kasih untuk surat balas yang pantas daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo, bertarikh 8 September 2020. Surat balas ini adalah jawapan kepada surat bantahan kami terhadap perlombongan Lantanid di Mukim Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang.

2. Kami juga ingin merujuk kepada kenyataan JAKOA berkenaan isu ini yang diterbitkan melalui akhbar BERITA HARIAN dan BERNAMA.

3. Melalui surat daripada JAKOA ini, kami dapat tahu bahawa kajian perlombongan yang dijalankan ialah EIA (Environmental Impact Assessment) dan syarikat perunding yang diberikan kebenaran ialah Chemsain Konsultant Sdn Bhd.

4. Kami juga mendapat tahu bahawa kajian yang dibuat bukan untuk 1 lombong tetapi 3 lombong dengan jumlah keluasan 660 hektar.

5. Kami juga mendapat tahu bahawa tempoh kajian yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos 2020, tetapi telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

6. Kami tidak menyangkal fakta bahawa kelulusan perlombongan diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan bukannya JAKOA. Malah ini bukan pun persoalan dalam surat bantahan kami.

7. Kami tidak setuju aktiviti perlombongan ini ditakrifkan sebagai “projek pembangunan” oleh JAKOA. Pembangunan untuk siapa? Perlombongan membawa kehancuran kepada alam sekitar dan mencemari Wilayah Adat Orang Asli. Malah, perlombongan hanya membawa pembangunan kepada segelintir tauke-tauke lombong dan ahli-ahli politik Kerajaan Negeri yang berkepentingan.

8. Persoalan kami adalah, adakah tatacara kajian EIA sebegini relevan untuk kami Orang Asli?

Komuniti Orang Asli tidak arif tentang implikasi kajian sedemikian dan hak-hak mereka dalam undang-undang. Inilah yang berlaku dalam kajian EIA Empangan Telom dulu oleh pihak universiti, UiTM, di mana kebanyakan Orang Asli menjawab mereka tidak mempunyai hak terhadap Wilayah Adat dan bersetuju dengan pembinaan empangan apabila ditanya berkenaan undang-undang hak milik tanah. Kajian sedemikian adalah bertentangan dengan prinsip Izin Makluman Awal, Bebas dan Telus yang dinyatakan dalam Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Hak-hak Orang Asal (United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples, UNDRIP).

9. Kami juga mempertikaikan keputusan JAKOA memberikan kuasa penuh kepada batin sebagai wakil penduduk dalam kajian EIA ini. JAKOA tahu bahawa hampir semua batin di Pos Lanai tidak mewakili aspirasi kami Orang Asli di kawasan ini. Perkara ini terbukti semasa perjalanan kes Mahkamah Empangan Telom di mana hanya satu batin menyertai saman mahkamah terhadap TNB pada masa itu. Justeru, jika JAKOA benar-benar ingin mendapatkan suara akar umbi, mereka harus mengiktiraf pelbagai perwakilan seperti kami, iaitu Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai.

10. Kami meminta JAKOA membatalkan segera kelulusan kajian EIA perlombongan Lantanid yang diberikan kepada Chemsain Konsultant Sdn Bhd yang jelas menjejaskan komuniti Pos Lanai.

11. Pihak JAKOA juga harus dapat membezakan antara projek yang membawa kebaikan atau kemusnahan kepada kami Orang Asli dan mengelakkan daripada memberikan kelulusan kajian perlombongan kepada pihak yang hanya berminat mengaut keuntungan dengan menghancurkan cara hidup kami.

==========

Jeffry bin Hassan ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat OA Pos Lanai.

One thought on “Jangan lulus kajian perlombongan yang memusnahkan kehidupan Orang Asli – Jawatankuasa OA Pos Lanai membalas kenyataan JAKOA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *