20190720 - dewan-rakyat

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Ogos 2020, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan supaya menggugurkan huruf “I” daripada IPCC, ataupun perkataan “Bebas” daripada “Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis” yang dicadangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Ini kerana Kerajaan telah “menyembelih” rang undang-undang (RUU) yang penting untuk pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan polis ini sehingga ia tidak membawa apa-apa makna kepada pembaharuan institusi dan integriti pasukan polis jika diluluskan dalam Parlimen.

Kerajaan telah menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), yang dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2020.

Arutchelvan berkata, “Pindaan terkini dalam RUU yang terbaru ini telah melemahkan cadangan untuk IPCMC yang dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, dan ia tidak lagi mempunyai apa-apa makna untuk dibahaskan dalam Parlimen.” Arutchelvan menyindir bahawa lebih baik IPCC yang digugurkan “I” itu disimpan dalam almari jabatan-jabatan polis masing-masing.

Penubuhan IPCMC ialah salah satu daripada 125 cadangan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004, semasa zaman Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri, yang bertujuan untuk memulihkan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kepercayaan rakyat terhadap PDRM yang semakin merosot pada masa itu. Selepas menunggu 14 tahun, RUU IPCMC dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada bulan Julai 2019. Namun, selepas Perikatan Nasional merampas kuasa daripada Pakatan Harapan, salah satu tindakan untuk menerbalikkan usaha pembaharuan institusi adalah menarik balik RUU IPCMC dan menggantikannya dengan RUU IPCC. Salah satu perbezaan yang ketara antara kedua-dua RUU ini adalah IPCC tidak lagi mempunyai kuasa mengenakan hukuman terhadap mana-mana anggota polis yang didapati melakukan kesalahan tatatertib, seperti yang terdapat dalam RUU IPCMC.

“PSM tidak akan membazirkan masa dalam membuat aduan kepada suruhanjaya yang tidak berkuasa ini kerana ia telah melanggar semangat Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ditubuhkan oleh Kerajaan UMNO-BN sebelum ini yang mencadangkan IPCMC sebagai salah satu daripada 125 cadangannya,” kata Arutchelvan. “Nampaknya Kerajaan masih belum belajar daripada kesilapan lampau, di mana kebanyakan orang telah menjauhkan diri daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan dengan tujuan yang serupa tetapi tidak mempunyai sifat kebebasan seperti IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja. Sekarang ini, kita disajikan dengan sesuatu yang lebih teruk berbanding EAIC.”

“Dengan apa yang sedia ada sekarang, kami lebih rela membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), di mana kita sekurang-kurangnya boleh melihat sedikit kebebasan badan tersebut. Oleh itu, tolong jimatkan wang kita dan jangan membazir masa dalam membahaskan sesuatu yang tiada kegunaan atau nilai tambah,” ulas Arutchelvan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *