20200603 - union (2)

IPOH, PERAK – 3 JUN 2020: Mahkamah Majistret Ipoh telah menolak permohonan reman daripada pihak polis terhadap 5 orang aktivis kesatuan yang ditahan semalam semasa aksi protes membantah tindakan majikan yang menindas kesatuan sekerja yang dianggotai oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan.

Pihak polis cuba memohon reman selama 4 hari terhadap kelima-lima orang yang telah ditahan semalaman, tetapi telah ditolak oleh Majistret Azuratul Akmar. Majistret mengarahkan pihak polis supaya membebaskan mereka yang ditahan selewat-lewatnya pukul 6 petang hari ini.

5 orang yang ditahan semalam ialah:

  • M. Sarasvathy, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)
  • V. Santhiran, Bendahari KPSPSHKSM
  • L. Danaletchumi, Pegawai Perhubungan Perusahaan bagi KPSPSHKSM
  • P. Jothi, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  • C. Subramaniam@Raja, aktivis PSM

M. Sarasvathy juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan mantan Timbalan Pengerusi PSM. 

Kelima-lima orang kena tangkap dibebaskan pada lebih kurang pukul 5 petang. Namun, mereka dikehendaki untuk hadir ke mahkamah pada hari esok (4 Jun 2020) untuk pendakwaan.

Mereka yang ditahan ini diwakili oleh peguam Balakrishnan, K. Kunasekaran and KS Bawani.

20200603 - union released2 (2)
Aktivis-aktivis kesatuan pekerja pembersihan hospital dibebaskan pada 3 Jun 2020 selepas Majistret Ipoh menolak permohonan pihak polis untuk reman 4 hari.

5 orang aktivis pekerja ini ditahan semasa mengadakan aksi protes di hadapan Hospital Besar Ipoh semalam untuk menyuarakan bantahan terhadap tindakan penindasan terhadap ahli-ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) yang berterusan oleh syarikat Edgenta UEMS, sebuah anak syarikat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) UEM Group Berhad yang memegang kontrak untuk kerja-kerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri-negeri bahagian Utara Pantai Barat.

Apa yang merunsingkan adalah, setelah ditahan semalaman, pihak polis telah memohon untuk reman selama 4 hari, iaitu tempoh maksimum untuk reman pertama di bawah Kanun Tatacara Jenayah. Pegawai Penyiasat untuk kes ini juga menyatakan semasa permohonan reman bahawa pihaknya bercadang untuk mendakwa mereka pada hari keesokan.

“Ini merupakan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran undang-undang yang jelas. Ini kerana ia menunjukkan bahawa sebenarnya pihak polis sudah memutuskan untuk mendakwa orang yang kena tangkap sebelum melakukan siasatan seperti yang diminta oleh mereka di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Adalah tidak perlu untuk reman sekiranya pihak polis sudah memutuskan untuk mendakwa orang yang kena tangkap,” begitu katanya S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam kenyataannya hari ini.

PSM menyeru pada pihak polis supaya menghentikan segala niat dan cubaan untuk mendakwa aktivis-aktivis kesatuan sekerja ini, kerana hanya akan membazirkan masa dan dana awam sementara tidak menangani isu utama yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja. “Sebenarnya, kesatuan sekerja mengambil langkah terdesak untuk berpiket semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana segala usaha mereka untuk mengentengahkan masalah yang dihadapi mereka langsung tidak dipeduli oleh majikan mereka, Edgenta UEMS. Sebaliknya, Edgenta UEMS mempergunakan tempoh PKP untuk meneruskan aktiviti yang memecah-belahkan kesatuan sekerja. Pekerja-pekerja ini perlu bernafas juga!” begitu katanya Arutchelvan.

Edgenta UEMS telah melakukan aktiviti menindas kesatuan sekerja dan memangsakan ahli-ahli kesatuan sekerja di semua hospital yang berkenaan. Ahli-ahli kesatuan telah menghadapi masalah seperti penukaran jadual waktu tanpa persetujuan mereka, pemindahan kerja ke hospital yang jauh dari rumah kediaman mereka, ugutan tindakan displin ke atas penglibatan pekerja dalam kesatuan sekerja, larangan terhadap mesyuarat kesatuan semasa waktu rehat, gangguan berterusan daripada penyelia, tidak membekalkan kelengkapan perlindungan diri yang mencukupi kepada pekerja pembersihan, tidak meneruskan subsidi pengangkutan untuk pekerja-pekerja berulang alik ke hospital, dan sebagainya.

Berikutan penangkapan 5 orang aktivis pekerja yang berpiket untuk menyuarakan hak kesatuan, Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) mengemukakan seruan berikut:

  1. Jangan mendakwa 5 orang aktivis yang berjuang untuk hak pekerja-pekerja pembersihan di hospital yang merupakan barisan hadapan dalam usaha membendung wabak COVID-19.
  2. Hentikan segala pemangsaan terhadap pekerja-pekerja dan ahli-ahli kesatuan.
  3. Jabatan kerajaan yang berkenaan, seperti Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Kesihatan, perlu mengambil tindakan segera dalam melindungi hak kesatuan pekerja-pekerja di hospital kerajaan.

Banyak pertubuhan dan individu di dalam dan luar negara telah menyatakan bantahan mereka terhadap penangkapan 5 orang aktivis pekerja semalam dan menyuarakan sokongan kepada perjuangan pekerja-pekerja pembersihan ini.

One thought on “Mahkamah tolak reman terhadap 5 orang aktivis kesatuan pekerja pembersihan hospital

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *