20200326 - 4c2fdc79c194b320ccf1c6c211f70cbe_w300_h429

Terdapatnya sejenis kecenderungan dalam sistem kapitalis, iaitu sistem kapitalis sentiasa ingin memperluaskan pengeluaran tanpa had, memperluaskan arena persaingan untuk aktiviti-aktivitinya ke seluruh dunia, dan menganggap seluruh umat manusia itu sebagai pembeli yang berpotensi untuk komoditinya.

Maka adanya satu kontradiksi yang agak menarik, seseorang kapitalis itu suka melihat kapitalis lain menaikkan gaji pekerja, kerana gaji pekerja itu bersamaan dengan kuasa beli yang boleh membeli komoditi yang dihasilkannya. Namun, kapitalis itu tidak dapat bertolak ansur dengan kenaikan gaji pekerjanya sendiri, kerana ini akan mengurangkan keuntungannya.

Perluasan sistem ekonomi kapitalis menyebabkan terbentuknya satu struktur yang agak khusus di seluruh dunia – satu dunia menjadi satu unit ekonomi, hubungan saling bergantungan setiap bahagian dalam dunia ini sangat sensitif. Di bawah ekonomi kapitalis sedunia, kita dapat memperoleh apa sahaja barangan yang dihasilkan di mana-mana tempat.  Perkembangan sistem kapitalis telah mewujudkan hubungan saling bergantungan sesama manusia dari segi pendapatan, dan menyatukan kehendak atau keinginan manusia sejagat.

Semua kehidupan ekonomi semakin disatukan dalam satu struktur tunggal dalam proses sosialisasi pengeluaran. Namun, pergerakan menyeluruh untuk hubungan saling bergantungan ini berpusatkan pemilikan swasta ke atas sumber pengeluaran. Kapitalis yang memiliki segala sumber pengeluaran hanya menjaga kepentingan sendiri, dan tindakan mereka bercanggah dengan kepentingan kelas pekerja yang merupakan majoriti.

Sosialisasi pengeluaran saling berkonflik dengan pemilikan swasta. Namun, pemilikan swasta adalah penggerak dan tiang penyokong untuk sosialisasi pengeluaran dalam sistem kapitalis. Apabila berlakunya krisis ekonomi, kontradiksi ini tercetus dan ditonjolkan dalam bentuk yang paling luar biasa.

Dasar-dasar negara dan syarikat kapitalis tidak dapat menangani kontradiksi kapitalisme.

Terdapat dua trend yang bercanggah:

  1. Kapitalis sentiasa mengurangkan kos buruh (gaji), pada masa yang masa menghasilkan lebih komoditi, tetapi oleh sebab kuasa beli pengguna daripada kelas pekerja telah dikurangkan, maka komoditi tidak dapat dijual.
  2. Persaingan antara kapitalis untuk mengeluarkan komoditi yang lebih banyak dan lebih murah (melalui penggunaan teknologi baru untuk meningkatkan produktiviti), tetapi permintaan pasaran untuk komoditi tidak mampu mengejar pertumbuhan pengeluaran.

Trend ini menimbulkan krisis ekonomi, iaitu kemelesetan ekonomi.

Krisis ekonomi kapitalis amat berbeza daripada krisis pada zaman pra-kapitalis. Krisis pada zaman pra-kapitalis adalah disebabkan oleh kekurangan, tetapi krisis kapitalisme itu adalah disebabkan oleh berlebihan.

Punca krisis ekonomi kapitalis adalah disebabkan pengeluaran yang berlebihan (overproduction), tetapi pada masa yang sama kuasa beli tidak mencukupi  (underconsumption).

Fenomena yang aneh dalam kapitalisme: orang mati kebuluran bukannya disebabkan tidak cukup makanan, tetapi bekalan makanan yang berlebihan. Bagaimana ini boleh berlaku?

Komoditi yang berlebihan tiada pembelinya, bukan sahaja tidak dapat memperoleh nilai surplusnya, malah modal yang dilaburkan juga tidak akan diperoleh semula. Penurunan dalam kuantiti jualan memaksa kapitalis memberhentikan pengeluaran, maka mereka memberhentikan pekerja. Pekerja yang diberhentikan kerja tiadanya simpanan untuk menyara hidup kerana mereka hanya boleh menjual tenaga buruh untuk mencari rezeki, dan kehilangan kerja membawa kesengsaraan kemiskinan yang teruk. Punca kejatuhan kuantiti jualan adalah komoditi yang terlalu banyak.

Dari segi pengeluaran yang berlebihan, kemelesetan ekonomi terjadi bukan kerana produktiviti pekerja tidak mencukupi, tetapi peningkatan produktiviti buruh dengan meningkatkan teknologi pengeluaran (menaikkan modal tetap) akan menyebabkan pekerja kehilangan kerja sehingga tidak dapat membeli barangan berlebihan yang dihasilkan itu.

Dari segi permintaan untuk penggunaan (kuasa beli) yang tidak mencukupi, kegawatan ekonomi bukannya disebabkan gaji pekerja terlalu tinggi, tetapi gaji pekerja ditekan pada tahap yang rendah untuk memaksimumkan keuntungan sehingga menjejaskan kuasa beli pekerja itu.

Karl Marx telah membentangkan hipotesis ekonominya tentang “kecenderungan pengurangan kadar keuntungan” (tendency of the rate of profit to fall) yang diterangkan menggunakan teori pengumpulan modal. Walaupun kecenderungan pengurangan kadar keuntungan purata sosial itu sukar untuk disukat dan tiada hubungan secara langsung dengan kegawatan ekonomi, namun Marx menganggap teori ini penting untuk memahami sifat asas krisis sistem kapitalis.

Pengumpulan modal yang membawa kepada kemajuan teknologi dan skala pengeluaran secara umum, serta trend untuk penguasaan kapitalis besar dalam persaingan pasaran, melibatkan satu kecenderungan umum untuk penumpunan modal, sehingga komposisi organik modal dalam pengeluaran itu akan meningkat. Sekiranya faktor lain adalah malar, peningkatan komposisi organik modal akan mengurangkan kadar pengumpulan modal, dan menimbulkan masalah / krisis kepada sistem kapitalis itu.

Imbas kembali kepada rencana bertajuk “Pemerasan”, komposisi organik modal sosial boleh diungkapkan dalam formula:

k = c / v

dengan k = komposisi organik modal, c = modal tetap, v = modal bolehubah

 

Kadar eksploitasi atau kadar nilai surplus boleh diungkapkan dalam formula:

e = s / v

dengan e = kadar eksploitasi, s = nilai surplus, v = modal bolehubah

 

Kadar keuntungan pula boleh diungkapkan dalam formula:

r = s / (c + v)

dengan r = kadar keuntungan, s = nilai surplus, c = modal tetap, v= modal bolehubah

 

Dalam formula matematik kadar keuntungan, jika kita bahagikan kedua-dua pengangka dan penyebut dalam pecahan itu dengan v, maka kita akan mendapati:

r = e / (k + 1)

iaitu kadar keuntungan bersamaan dengan: kadar eksploitasi / (komposisi organik modal + 1)

Oleh yang demikian, kadar keuntungan akan bertambah sekiranya kadar eksploitasi meningkat, manakala akan berkurangan sekiranya komposisi organik modal meningkat.

Namun, apabila perkembangan sistem kapitalis itu mencapai peringkat “industri moden” ataupun “pengeluaran berskala besar menggunakan mesin”, kecenderungan untuk komposisi organik modal (k) bertambah adalah lebih cepat daripada kadar eksploitasi (e) ke atas tenaga buruh.

Walaupun adanya juga “faktor yang bertentangan” yang boleh mengimbanginya, tetapi kadar keuntungan adalah mencenderung kepada semakin berkurangan. Kecendurungan pengurangan kadar keuntungan adalah berkait rapat (walaupun tidak secara langsung) dengan trend krisis ekonomi yang berkitaran.

Marx menganggap “kecenderungan pengurangan kadar keuntungan” sebagai satu kecenderungan umum dalam perkembangan mod pengeluaran kapitalis, tetapi adanya juga “faktor pengimbangan” yang akan menaikkan kadar keuntungan, antaranya:

  • Pemerasan yang lebih hebat ke atas pekerja (meningkatkan kadar eksploitasi ke atas tenaga buruh);
  • Pengurangan gaji kepada tahap di bawah nilai kuasa buruh;
  • Menggunakan cara-cara tertentu untuk dapatkan modal tetap secara murah;
  • Pertumbuhan populasi yang berlebihan (tentera simpanan buruh) yang menganggur;
  • Perdagangan luar yang mengurangkan kos input industri dan barangan pengguna;
  • Peningkatan dalam menggunakan modal perkongsian oleh syarikat saham bersama, yang mengalihkan sebahagian kos penggunaan modal dalam pengeluaran kepada orang lain (rakan sekongsi kapitalis).

Walau bagaimanapun, Marx berpendapat bahawa faktor pengimbangan pada akhirnya tetap tidak dapat menghalang kejatuhan kadar kuntungan dalam industri, kerana kecenderungan ini adalah intrinsik untuk mod pengeluaran kapitalis.

Seperti yang dikatakan oleh Marx, “halangan sebenar untuk pengeluaran kapitalis adalah modal itu sendiri”. (Das Kapital, Jilid III) Modal yang berlebihan perlu “dimusnahkan” dalam krisis dan jikalau tidak, masalah yang ditimbunkan itu akan dilanjutkan ke krisis yang akan datang.

Kitaran krisis ekonomi kapitalis berulang-ulang dalam kitaran: kemelesetan – pemulihan – kemakmuran – kemelesetan. Setiap kali berlakunya krisis kemelesetan ekonomi, akan membawa impak yang lebih besar kepada kelas pekerja dan kehancuran kepada masyarakat.

Sistem kapitalis itu sentiasa berkecenderungan untuk berlakunya krisis, dan cuba menyelamatkan sistem itu sendiri dengan setiap kali berlakunya krisis. Namun, selalunya kelas pekerja akan dikorbankan dalam krisis ekonomi, dengan pengangguran secara besar-besaran, kemiskinan, kelaparan dan kesengsaraan hidup yang tidak habis-habisan.

Dalam krisis ekonomi, ramai pekerja kehilangan kerja menjadi penganggur, begitu juga dengan ramai daripada kelas menengah dan kapitalis kecil “dilucutkan” tarafnya sehingga menjadi proletariat. Mereka yang menjadi mangsa kepada krisis ekonomi akan dijadikan “tentera simpanan” (sekiranya masih hidup) untuk pemulihan ekonomi yang seterusnya dalam kitaran ekonomi kapitalis.

Punca-punca berlakunya krisis secara kitaran, wujud secara berkekalan dalam sistem kapitalis itu sendiri, dan tidak dapat diatasi selagi masih berada dalam kerangka sistem kapitalis.

Krisis merupakan manifestasi kontradiksi asas dalam sistem kapitalis, dan berulang kali melalui kitaran krisis itu memberi amaran pada kapitalisme bahawa ia bakal menemui ajal, jikalau tidak, yang menanggung segala kesengsaraan daripada krisis kapitalis itu adalah kelas pekerja dan rakyat miskin seluruh dunia.

Akan tetapi, kemusnahan sistem kapitalis itu tidak akan datang secara sendiri atau automatik. Kemusnahannya memerlukan kesedaran rakyat, dan tugas untuk kelas pekerja adalah menggerakkan kesedaran itu.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *