20200207 - Screenshot_2020-02-07 fdp-parteizentrale-proteste-thueringen webp (WEBP Image, 1300 × 731 pixels) - Scaled (89%)

Hanya selepas 25 jam dipilih sebagai Presiden Menteri untuk negeri Thüringen di Jerman, Thomas Kemmerich daripada Parti Demokratik Bebas (FDP) mengumumkan bahawa dia akan meletak jawatannya, selepas mendapat tentangan hebat daripada masyarakat Jerman.

Kemmerich membuat pengumuman itu selepas satu mesyuarat krisis dengan pemimpin parti FDP Christian Lindner pada 6 Februari 2020. Tindakan FDP yang hanya memperoleh 5% undi dan menguasai 5 daripada 90 kerusi dalam Parlimen Negeri Thüringen untuk mendapatkan jawatan Presiden Menteri negeri tersebut dengan bantuan pelampau kanan telah mencetuskan kemarahan rakyat Jerman yang hebat.

Kemmerich menang dalam pengundian dalam Parlimen Negeri Thüringen pada 5 Februari 2020 untuk menjadi Presiden Menteri di negeri kecil di Tengah Jerman itu, selepas mendapat sokongan daripada  parti pelampau kanan yang membawa politik perkauman dan xenofobia, Alternatif untuk Jerman (AfD), selain Kesatuan Demokratik Kristian (CDU). Penyandang jawatan Presiden Menteri sebelum ini, Bodo Ramelow daripada Die Linke (Parti Kiri) yang menguasai kerusi terbanyak dalam Parlimen Negeri Thüringen (iaitu 29 kerusi) hanya kalah dalam pemilihan Presiden Menteri dengan perbezaan 1 undi. Tindakan parti liberal yang merampas kuasa dengan bantuan pelampau kanan ini telah mengundang kritikan hebat daripada parti politik merentasi spektrum politik dan juga aksi protes orang ramai.

20200207 - 01

Ribuan orang berprotes di hadapan ibupejabat FDP di Berlin, ibu negara Jerman, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap pemilihan Kemmerich di Thüringen yang mendapat sokongan daripada AfD, yang “mencipta sejarah” untuk pertama kalinya di Jerman selepas Perang Dunia II terdapat sebuah kerajaan negeri yang disokong oleh parti pelampau kanan. Protes anti-fasis juga tercetus pada 5 Februari 2020 di bandar-bandar lain seperti Cologne, Frankfurt, Leipzig, Munich dan ibu kota untuk negeri Thüringen, Erfurt.

Canselor Jerman, Angela Merkel daripada Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), juga mengecam pemilihan Kemmerich sebagai Presiden Menteri Thüringen, walaupun wakil rakyat CDU dalam Parlimen Negeri Thüringen turut mengundi untuk menyokong Kemmerich. Merkel menyifatkan pengundian dalam Parlimen Negeri Thüringen itu “tidak boleh dimaafkan”.

Adalah menjadi pantang larang dalam politik di negara Jerman yang pernah diperintah Nazi untuk bekerjasama dengan parti pelampau kanan yang mempunyai bayangan neo-Nazi. Terdapat satu “cordon sanitaire” (kepungan kuarantin) selepas Perang Dunia II dalam kalangan parti-parti politik aliran utama di Jerman, termasuk parti yang berhaluan kanan seperti CDU, untuk tidak bekerjasama dengan parti pelampau kanan yang berkaitan dengan fahaman neo-Nazi seperti AfD. Walaupun negeri Thüringen hanya sebuah negeri kecil yang terletak di Tengah Jerman, tetapi ia mempunyai sejarah sebagai salah sebuah negeri pertama di Jerman di mana golongan memegang kuasa politik yang sebenar pada tahun 1930 setelah menang 6 kerusi dalam Pilihanraya Parlimen Negeri dan menyertai pembentukan kerajaan campuran di negeri itu, membuka jalan kepada perluasan kuasa Nazi di Jerman yang kemudiannya membawa bencana perang yang mengerikan kepada dunia.

Reputasi untuk FDP, parti politik liberal yang mendukung fahaman pasaran bebas, telah terjejas dengan hebatnya kerana apa yang berlaku di Parlimen Negeri Thüringen terbaru ini. Selain mengumumkan perletakan jawatan, Kemmerich berkata bahawa dia juga akan mengemukakan usul dalam Parlimen Negeri Thüringen untuk pilihanraya negeri yang baru. Namun, pembubaran Parlimen Negeri Thüringen memerlukan sokongan 2/3 daripada anggotanya. Kemmerich boleh hanya membawa undi ketidakpercayaan, di mana memberi kemungkinan kepada Bodo Ramelow daripada Die Linke untuk kembali berkuasa. Dengan ancaman pelampau kanan yang semakin ketara, sudah pastinya pergolakan politik di Thüringen dan Jerman akan berterusan untuk satu ketika lagi.

Sementara itu, Die Linke yang baru kehilangan kuasa di Thüringen yang diperintahnya melalui kerajaan campuran untuk 5 tahun sebelum ini, telah menyaksikan peningkatan dalam kemasukan ahli baru. Dalam tempoh sehari selepas berlakunya peristiwa Kemmerich dipilih sebagai Presiden Menteri Thüringen, lebih 10 kali ganda ahli baru menyertai parti berhaluan kiri tersebut. Ini merupakan satu petanda positif rakyat Jerman bersedia untuk melawan balik dalam keadaan menghadapi ancaman kemaraan kuasa pelampau kanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *