20200202 - perak psm (3)

IPOH, PERAK – 2 FEBRUARI 2020: Pejabat Negeri Perak untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) dirasmikan pada hari ini dalam satu majlis yang meriah.

DalamKongres Nasional PSM yang ke-21 pada bulan Julai 2019, salah satu usul yang diluluskan ialah penubuhan Pejabat Negeri di setiap negeri yang mempunyai cawangan PSM. Selepas itu, usaha pembentukan Jawatankuasa Negeri telah giat dijalankan. Negeri Perak menjadi negeri pertama untuk penubuhan Pejabat Negeri PSM.

Majlis Perasmian Pejabat PSM Negeri Perak dihadiri ahli-ahli dan para penyokong PSM, di samping pimpinan nasional PSM termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM) dan A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM). Jawatankuasa PSM Negeri Perak terdiri daripada K. Kunasekaran selaku Pengerusi PSM Perak, Chong Yee Shan selaku Setiausaha PSM Perak dan Steve Tan selaku Bendahari PSM Perak.

20200202 - perak01 (2)
Dr. Jeyakumar Devaraj

Dalam ucapan semasa Perasmian Pejabat PSM Negeri Perak, Pengerusi Nasional PSM Dr. Jeyakumar Devaraj berkata, “Selepas 20 bulan kita tukar kerajaan, rakyat sekarang sudah sedar bahawa hanya sekadar tukar kerajaan tidak mencukupi, kerana nampaknya pentadbiran dan dasar yang dibawa lebih kurang sama. Kita perlu pilih siapa yang kita hendak berikan mandat.”

“Walaupun PSM sebuah parti yang kecil dari segi keanggotaan, tetapi boleh melakukan banyak kerja akar umbi dan membawa isu rakyat ke depan. PSM akan terus melakukan kerja yang memanfaatkan rakyat. PSM memerlukan sokongan kawan-kawan sekalian untuk menyumbangkan sedikit masa dalam membantu program PSM. PSM adanya banyak kerja dengan rakyat biasa. PSM adanya program untuk petani, peneroka bandar, pekerja kontrak, masyarakat Orang Asli, Gabungan Pemandu Lori, pekerja ladang dan sebagainya,” begitu kata Dr. Jeyakumar.

“Apa yang PSM lakukan adalah, semasa PSM membuat kerja-kerja yang dianggap kecil ini, PSM juga cuba tukar undang-undang dan dasar kerajaan. Kita belajar dari masalah, kita membawa perjuangan ke depan,” ulas Dr. Jeyakumar.

Timbalan Pengerusi PSM S. Arutchelvan berkata bahawa PSM ialah parti untuk Malaysia. “Kami tidak mempermainkan politik perkaunan, kami tidak bertelingkah sesama diri, kami bersih, dan kami berjuang untuk isu-isu rakyat sebenar, seperti gaji pekerja, iklim dan kesihatan.” Sementara itu, Setiausaha Agung PSM A. Sivarajan berkata bahawa PSM bertekad untuk menjadi kuasa politik di negara ini dalam tempoh masa 10 tahun.

Dengan pembukaan Pejabat Negeri Perak, PSM akan terus memantapkan kerja-kerjanya di negeri Perak dan berusaha membina kuasa rakyat demi memperjuangkan kesejahteraan rakyat marhaen secara bersama.

Pejabat PSM Negeri Perak terletak di 1A, Medan Istana 3, Bandar Ipoh Raya, 30000, Ipoh Perak.

20200202 - perak02 (2)
Pimpinan Pusat dan Negeri Perak PSM mengadakan sidang akhbar selepas Perasmian Pejabat PSM Negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *