20190716- 66595194_10156153003580825_3244221336788140032_n - Copy

Imbas kembali beberapa detik penting untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepanjang tahun 2019.

Peralihan pucuk kepimpinan PSM

20190712 - ukongres

Kongres Nasional PSM yang ke-21 telah menyaksikan transisi kepimpinan yang penting, dengan jawatan Pengerusi Nasional yang dipegang oleh Dr. Nasir Hashim sejak penubuhan parti telah digantikan oleh Dr. Jeyakumar Devaraj dalam pemilihan parti. S. Arutchelvan pula menggantikan M. Sarasvathy dalam memegang jawatan Timbalan Pengerusi. Kongres PSM yang diadakan pada 12-14 Julai 2019 memutuskan untuk melancarkan satu kempen nasional untuk mendesak kerajaan supaya mengisytihar “Darurat Iklim” bagi melaksanakan langkah-langkah drastik dalam menangani krisis iklim yang semakin serius. Selain itu, Kongres PSM ke-21 juga meluluskan usul pembentukan Pejabat Perhubungan Negeri untuk memperkukuhkan gerak kerja PSM di peringkat negeri masing-masing.

PSM bertanding dalam PRK Semenyih

20190216085217__MG_1377-01-01

PSM telah meletakkan calon anak muda, Nik Aziz Afiq Abdul, untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Semenyih di Selangor. Walaupun hanya memperoleh 847 undi dan kalah dalam dalam PRK ini, PSM telah menunjukkan teladan menampilkan calon yang bersih dan tidak mempermainkan isu perkauman sepanjang kempen pilihanraya. PSM juga membangkitkan pelbagai isu rakyat semasa kempen, seperti masalah insurans kesihatan MySalam, perumahan, pekerja kontrak, pengangkutan awam dan sebagainya. Penglibatan dalam PRK Semenyih merupakan satu pengalaman yang bernilai untuk PSM. Nik Aziz Afiq berkata selepas pengumuman keputusan, “Kita boleh kalah, tapi kita tak boleh mengalah… Perjuangan itu satu proses, ia mengambil masa ibarat air yang menitik pada batu. Kita boleh hilang deposit dan diketawakan, tetapi kita tak boleh hilang prinsip dan arah perjuangan.”

Kempen Turun Harga Rumah

56661901_2086592031378261_5456166980702699520_n

PSM telah melancarkan Kempen Perumahan Nasional yang membawa tuntutan kepada kerajaan supaya menurunkan harga rumah ke paras yang munasabah dan menyediakan rumah dengan harga yang benar-benar mampu milik bagi rakyat biasa. Kempen peringkat negeri telah dijalankan di tempat seperti Negeri Sembilan dan Johor.

Kes pendakwaan terhadap Ketua Biro Perumahan PSM di Pulau Pinang

20190913-71111551_386250842056398_4324088059030142976_n

R.Karthiges, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Perumahan PSM, dan seorang lagi yang bernama Nathan, telah dibebaskan daripada pertuduhan pada 13 September 2019 oleh Mahkamah Majistret Georgetown apabila pihak Majistret Eric Lau memutuskan bahawa tiada kes prima facie terhadap mereka. Mereka berdua ditangkap pada 5 Jun 2018 ketika cuba mempertahankan penduduk miskin yang menghuni di unit rumah PPR Padang Tembak, Pulau Pinang, daripada pengusiran paksa. Namun, pihak pendakwaraya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. 

Perjuangkan hak pekerja kontrak di sekolah kerajaan

20191213 - 79697022_2866323360064572_4848823540935294976_o (2)

PSM dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) masih terus memperjuangkan hak pekerja kontrak di sekolah kerajaan yang sering diancam oleh sistem kontrak itu sendiri. PSM dan JPKK telah berjumpa dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk membangkitkan isu ini dan sedang dalam perhatian Menteri Pendidikan. PSM dan JPKK juga memberi bantuan kepada ramai pekerja pembersihan sekolah untuk memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan berikutan pembuangan kerja terhadap mereka secara tiba-tiba kesan daripada pemotongan perbelanjaan kerajaan. Satu mesyuarat pekerja kontrak peringkat nasional telah diadakan pada 18 Ogos 2019 untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi pekerja kontrak dan langkah-langkah untuk penyelesaian. PSM berpendirian bahawa sistem kontrak yang memiskinkan pekerja perlu dihapuskan dan diganti dengan pengupahan terus oleh kerajaan dengan jaminan pekerjaan untuk para pekerja.

Pertahankan sistem kesihatan awam daripada dihakis kepentingan korporat

20190320 - putrajaya

PSM telah membangkitkan persoalan berkaitan pelaksanaan skim insurans kesihatan MySalam dan menggesa kerajaan supaya jangan menyerahkan tanggungjawab pembiayaan kesihatan awam kepada syarikat insurans swasta. Selain itu, PSM telah bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil untuk mengadakan siri sidang meja bulat yang mengupas beberapa isu penting berkaitan dengan sistem kesihatan di negara kita, termasuk pembiayaan untuk sistem kesihatan awam, sumber manusia untuk sektor kesihatan, perkhidmatan kesihatan untuk migran dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *