20191211 -  Lehtikuva 39-6202195ded48c2ce16c.jpg
Sanna Marin (kiri) dan Antti Rinne (kanan). (foto oleh Lehtikuva)

Pada ketika adanya negara di dunia ini masih ditadbir oleh Perdana Menteri lelaki tua yang berusia 94 tahun, negara Finland telah menyambut Perdana Menteri wanita yang ketiganya dan paling muda di dunia pada masa kini.

Sanna Marin telah dipilih oleh Parti Demokratik Sosial Finland (SDP) untuk menggantikan Antti Rinne sebagai Perdana Menteri negara itu. Sanna Marin mengambilalih jawatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2019, dengan mengekalkan kerajaan campuran yang terdiri daripada 5 buah parti yang terbentuk sejak pilihanraya umum Finland pada bulan April 2019.

Dengan Sanna Marin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Finland, untuk pertama kalinya dalam sejarah Finland, kerajaan campuran yang memerintah di negara itu terdiri daripada 5 buah parti yang kesemuanya dipimpin oleh wanita, dan antaranya 4 orang pemimpin parti berumur di bawah 35 tahun.

Sanna Marin, berumur 34 tahun, merupakan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi dalam kabinet Antti Rinne sebelum ini. Marin dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga “pelangi” yang dibentuk daripada perkahwinan sama seks (antara dua orang wanita). Marin menyertai Pemuda Demokratik Sosial (Demarinuoret), iaitu sayap pemuda untuk SDP, pada tahun 2006. Beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Bandar Tampere dalam pilihanraya tempatan pada tahun 2012. Marin dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Pirkanmaa (kawasan Parlimen multi-ahli yang berpusatkan bandar Tampere yang mempunyai 18 orang Ahli Parlimen) dalam pilihanraya umum pada tahun 2015, dan dipilih semula pada tahun 2019.

Selain Sanna Marin, 4 orang pemimpin parti yang lain dalam kerajaan campuran kiri-tengah di Finland sekarang ini ialah:

  • Katri Kulmuni (berumur 32 tahun) daripada Parti Tengah, yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan;
  • Maria Ohisalo(berumur 34 tahun) daripada Liga Hijau, yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri;
  • Li Andersson(berumur 32 tahun) daripada Pakatan Kiri (vas.), yang memegang jawatan Menteri Pendidikan;
  • Anna-Maja Henriksson(berumur 55 tahun) daripada Parti Rakyat Sweden, yang memegang jawatan Menteri Kehakiman.

Kabinet Marin terdiri daripada 7 orang Menteri daripada SDP, 5 orang daripada Parti Tengah, 3 orang daripada Liga Hijau, 2 orang daripada Pakatan Kiri dan 2 orang daripada Parti Rakyat Sweden.

12 daripada 19 orang anggota Kabinet baru yang dipimpin oleh Sanna Marin ialah wanita, satu nisbah wanita yang tinggi berbanding kerajaan banyak negara. Dalam pilihanraya umum Finland pada bulan April 2019, , seramai 93 orang wanita telah dipilih ke dalam Parlimen yang mempunyai 200 kerusi (bersamaan dengan 46% daripada jumlah kerusi), mencatatkan rekod perwakilan wanita yang paling tinggi dalam sejarah Finland. 85% daripada calon Liga Hijau ialah wanita, dan hanya 3 daripada 20 ahli parlimen Liga Hijau yang dipilih ialah lelaki. 22 daripada 40 kerusi yang dimenangi SDP dipegang oleh wanita. Sekarang ini Finland mencipta satu lagi sejarah dengan kerajaan campuran yang dipimpin sepenuhnya oleh wanita. Ini merupakan satu pencapaian kemajuan politik pemberdayaan wanita dan kesamarataan gender yang masih jauh untuk dikecapi oleh negara seperti Malaysia yang masih dipimpin oleh politikus tua dan sudah tentu ada pihak yang berfikiran sempit akan mencetuskan isu kontroversi jika adanya wanita dicalonkan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Besar.

SDP yang ditubuhkan pada 120 tahun dahulu (ditubuhkan sebagai Parti Buruh Finland pada tahun 1899 dan ditukar nama kepada SDP pada tahun 1903), muncul sebagai parti terbesar dalam Parlimen Finland selepas 20 tahun ia ketinggalan di belakang parti berhaluan kanan-tengah, apabila menang 40 daripada 200 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum pada bulan April 2019. Antti Rinne, pemimpin SDP yang merupakan bekas pemimpin kesatuan sekerja dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada tahun 2014-15, telah mengambilalih kuasa sebagai Perdana Menteri pada 6 Jun 2019, setelah beliau berjaya merundingkan pembentukan kerajaan campuran yang terdiri daripada SDP, Parti Tengah, Liga Hijau, Pakatan Kiri dan Parti Rakyat Sweden.

Walaupun SDP mendapat sokongan pengundi dalam pilihanraya hasil kempennya yang menumpu kepada memperjuangkan sistem kebajikan Finland memang terkenal di dunia, tetapi kerajaan pimpinan Antti Rinne telah menghadapi krisis baru-baru ini, khususnya aksi mogok pekerja pos yang hebat pada bulan November 2019 yang akhirnya menjadi punca kepada perletakan jawatan Rinne sebagai Perdana Menteri.

20191211 - Petteri Sopanen -Yle Posti Group Oyj, Lakko, Työtaistelu, mielenosoitukset, Eduskuntatalo 39-6143405dd6921f104c4.jpg
Pekerja perkhidmatan pos di Finland bermogok selama 2 minggu pada bulan November 2019. (foto oleh Petteri Sopanen / Yle)

Lebih kurang 9,000 orang pekerja perkhidmatan pos mengadakan mogok selama 2 minggu, dari 11 November hingga 27 November 2019, untuk membantah cubaan syarikat perkhidmatan pos milik negara Posti untuk membawa perjanjian kolektif yang lebih teruk termasuk memindahkan 700 orang pekerja Posti ke anak syarikatnya yang bakal mengurangkan gaji dan perlindungan hak pekerja. Mogok pekerja pos mendapat sokongan daripada kesatuan pekerja yang lain, di mana aksi serupa mogok umum diadakan pada 25 November 2019, dengan pekerja-pekerja daripada industri penerbangan, perkhidmatan bas, feri, elektrik dan sebagainya bermogok untuk menyokong pekerja pos. Dianggarkan 60,000 orang pekerja (di dalam sebuah negara yang mempunyai 2.2 juta pekerja) bermogok untuk 700 orang pekerja yang bakal dikurangkan gaji, adalah manifestasi solidariti pekerja yang sebenar. Aksi mogok yang hebat ini akhirnya memaksa pihak syarikat untuk menyerah kalah dan membatalkan niat pemindahan pekerja.

Aksi mogok pekerja pos selama dua minggu baru-baru ini juga telah menggugat kewibawaan kerajaan campuran pimpinan Antti Rinne. Kerajaan Antti Rinne telah dikritik hebat kerana tidak menyampaikan maklumat secara jujur tentang serangan terhadap pekerja sektor awam. Antti Rinne mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 3 Disember 2019 selepas Parti Tengah telah menarik balik sokongan terhadap kabinetnya. Namun, Sirpa Paatero, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pemandu Pemilikan yang meletak jawatannya pada bulan November 2019 kerana bertanggungjawab terhadap keputusan pengurusan Posti yang melancarkan serangan terhadap pekerjanya sehingga mencetuskan aksi mogok, telah kembali memegang jawatan yang sama dalam kabinet Sanna Marin. Oleh itu, sama ada kabinet pimpinan Sanna Marin dapat mempertahankan kepentingan kelas pekerja masih satu persoalan yang perlu dijawab melalui pelaksanaan dasar dan tindakan kerajaannya selepas ini. Adalah dijangkakan aksi pekerja Finland akan berterusan lagi dengan pekerja-pekerja sektor awam dan swasta sedang menghadapi serangan yang berterusan daripada golongan pemodal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *