201911- lula_1.jpg_1359985867

Selepas ditahan selama 580 hari di bandar Curitiba di selatan Brazil, bekas Presiden Brazil yang berhaluan kiri, Luiz Inácio Lula da Silva, dibebaskan pada 8 November 2019. Lula disambut meriah oleh ribuan massa yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat Polis Persekutuan Brazil di mana beliau ditahan.

Lula mendapat kebebasan selepas Mahkamah Agung Brazil memutuskan pada 7 November 2019 bahawa seseorang yang disabitkan kesalahan hanya boleh dipenjarakan selepas semua saluran rayuan digunakan. Selain Lula, lebih kurang 5,000 orang rakyat Brazil yang berada di penjara, kebanyakannya golongan miskin dan orang berkulit hitam, boleh dibebaskan berasaskan keputusan Mahkamah Agung ini. Ramai di kalangan banduan atau tahanan ini dinafikan kebebasan tanpa proses pembelaan yang sewajar di sisi undang-undang. Keputusan Mahamah Agung Brazil ini bukannya kerana Lula, tetapi mensasar kepada sistem kehakiman di Brazil yang bersifat tidak demokratik dan tidak adil, yang menahan orang dalam penjara sebelum mereka melalui semua saluran rayuan yang berkemungkinan.

20191111 - Ricardo Stuckert lula-stuckert-2
Lula disambut meriah oleh penyokongnya yang berhimpun di luar tempat tahanannya.

Lula disabitkan kesalahan atas pertuduhan penggubahan wang haram dan korupsi secara pasif pada bulan Julai 2017 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 9 tahun dan 6 bulan, kemudiannya ditingkatkan hukuman penjara kepada 12 tahun pada bulan Januari 2018. Pada 5 April 2018, Mahkamah Agung Persekutuan memutuskan bahawa permohonan Lula untuk habeas corpus ditolak dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Lula menyerahkan dirinya pada 7 April 2018 dan mula dipenjarakan.

Pada ketika Lula mula menjalani hukuman penjaranya, beliau terlibat dalam kempen Pilihanraya Presiden di mana sokongan terhadapnya adalah paling tinggi antara semua calon yang bertanding. Lula telah dinafikan kelayakan untuk bertanding pada bulan Ogos 2018 oleh Mahkamah Pilihanraya Tertinggi. Pensabitan kesalahan Lula dibuat tanpa bukti yang kukuh daripada pihak pendakwaan. Hakim yang mensabitkan kesalahan Lula, Sérgio Moro, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kehakiman dan Keselamatan Awam dalam Kerajaan pimpinan Jair Bolsonaro yang berhaluan kanan, yang menang dalam Pilihanraya Presiden Brazil pada tahun 2018 selepas Lula kehilangan kelayakan bertanding. Akhbar The Intercept mendedahkan pada 9 Jun 2019 bahawa Sérgio Moro bersekongkol dengan pihak pendakwaan untuk memastikan pensabitan kesalahan Lula.

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah memohon pada negara Brazil “untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan Lula menikmati dan mengamalkan hak politiknya sementara berada di dalam penjara, sebagai calon dalam pilihanraya presiden 2018”. Namun, golongan berhaluan kanan memang tidak mahu Lula menang dalam pilihanraya, kerana beliau bakal menggugat kepentingan golongan elit oligarki yang berkuasa dan rapat dengan imperialis Barat seperti Kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump.

Sejurus selepas keluar dari tahanannya, Lula terus melawat khemah yang didirikan di seberang jalan yang bertentangan dengan tempat tahanannya, untuk menyampaikan penghargaannya kepada Gerakan Bebas Lula (Movimento Lula Livre) yang berkempen kuat untuk pembebasannya. Gerakan Bebas Lula yang ditubuhkan oleh gerakan sosial di Brazil, telah melancarkan kempen solidariti antarabangsa yang merentasi seluruh benua Amerika Latin, malah tersebar di seluruh dunia. Aktivis-aktivis Gerakan Bebas Lula mengadakan himpunan setiap hari di hadapan tempat pemenjaraan Lula, dan akhirnya dapat bertemu dengan Lula yang dibebaskan.

Walaupun Lula dibebaskan daripada tempat tahanannya pada ketika ini, tetapi kes terhadapnya – pertuduhan yang tiada bukti yang kukuh – masih kekal. Gerakan Bebas Lula akan meneruskan kempennya untuk memobilisasi sokongan masyarakat sehingga kes terhadapnya digugurkan dan Lula dibenarkan untuk menikmatik semula hak politik secara sepenuhnya. Kes pendakwaan terhadap Lula semenangnya bukan sahaja mahu memenjarakan Lula, tetapi memastikan pemimpin berhaluan kiri yang amat popular tersebut tidak lagi dapat bertanding untuk Presiden lagi.

Sokongan rakyat yang hebat terhadap Lula datang daripada aspek positif semasa kepresidenannya pada tahun 2003-2010, di mana kerajaan pimpinan Lula walaupun bukannya mengamalkan dasar sosialis yang radikal tetapi masih berjaya membasmi kemiskinan dan memperkembangkan peluang pendidikan untuk rakyat bawahan. Di samping itu, Lula telah memainkan peranan kepimpinan yang menyakinkan dalam perjuangan menentang kerajaan pimpinan Michel Temer dan Jair Bolsonaro yang bersifat neoliberal dan neofasis dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pembebasan Lula pastinya akan memberi nafas baru kepada perjuangan rakyat Brazil melawan kekuasaan Bolsonaro yang anti-rakyat.

Lula muncul sebagai tokoh perjuangan kelas pekerja Brazil semasa gelombang mogok pekerja pada tahun 1978 dan 1979, yang memainkan peranan penting dalam menamatkan pemerintahan kediktatoran tentera di Brazil pada tahun 1980-an. Bersama dengan sekumpulan golongan intelek dan aktivis kesatuan yang progresif, Lula menubuhkan Parti Pekerja (Partido dos Trabalhadores, PT) pada tahun 1980. Lula juga membantu dalam penubuhan Pusat Pekerja Bersatu (Central Única dos Trabalhadores, CUT), sebuah gabungan kesatuan sekerja yang utama di Brazil. Sepanjang penglibatan dalam politik, Lula telah mengubahsuai idea politiknya yang agak radikal pada awalnya kepada posisi yang lebih moderat. Kerajaan pimpinan Lula telah mengamalkan dasar reformis yang merangkumi pembaharuan dalam skim pesaraan, cukai progresif, perlindungan buruh, penambahbaikan pendidikan universiti dan sebagainya. Dasar yang dibawa oleh Lula adalah jauh kurang radikal berbanding dasar pembaharuan yang dibawa oleh mendiang Hugo Chávez di Venezuela. Kehidupan untuk rakyat bawahan di Brazil telah diperbaiki secara signifikan semasa pentadbiran Kerajaan Brazil, dengan pembangunan ekonomi yang pesat dan pelaksanaan beberapa program sosial. Lebih 20 juta orang membebaskan diri daripada keadaan kemiskinan tegar hasil daripada dasar pentadbiran Lula selama 8 tahun. Pengganti Lula, Dilma Rousseff, dijatuhkan pada tahun 2016 dalam kudeta oleh Senat yang dikuasai oleh golongan berhaluan kanan.

20191111 - lula

Dalam ucapannya selepas dibebaskan dari penjara, Lula menyeru pada rakyat Rakyat untuk bangkit melawan dasar neoliberal yang dilaksanakan oleh Presiden Jair Bolsonaro dan Menteri Ekonominya Paulo Guedes. “Rakyat seperti anda tidak perlu bergantung kepada seorang – anda bergantung pada kolektif. Mereka telah memburu Lula dan Haddad (pemimpin Parti Pekerja yang bertanding dalam Pilihanraya Presiden Brazil pada tahun 2018). Namun saya pasti bahawa, jika kita mempunyai pemahaman yang baik, jika kita dapat berusaha dengan baik, pada tahun 2022, golongan kiri – yang sangat ditakuti oleh Bolsonaro – akan menewaskan golongan pelampau kanan. Negara ini tidak memerlukan kerajaan yang ada sekarang. Ia tidak memerlukan kerajaan yang dipimpin oleh seorang Presiden yang memberitahu anaknya untuk berbohong setiap hari dan menyebarkan berita palsu.”

Sudah tentu Bolsonaro akan terasa tidak senang jika dia melihat Lula berjalan keluar dari penjara yang menahannya dengan semangat perjuangan yang kental dan meneruskan aktivisme politiknya untuk mencabar kekuasaan golongan kanan. Satu angin perubahan sedang melanda di benua Amerika Latin, tetapi reaksi dan ancaman daripada golongan berhaluan kanan yang rapat dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat masih hebat. Ketika kita dapat saksikan golongan kiri kembali berkuasa di Argentina, kemenangan pilihanraya untuk golongan kiri di Bolivia sedang dirampas melalui tindakan kudeta yang anti-demokrasi. Kebangkitan massa di Ecuador dan Chile menunjukkan bahawa benua Amerika Syarikat sedang berada di ambang perubahan yang kritikal. Negara Brazil yang merupakan ekonomi terbesar di rantau Amerika Selatan sudah pastinya menjadi medan pertembungan politik yang hebat antara kuasa Kiri dan Kanan, untuk menentukan halatuju masyarakat Amerika Latin pada masa akan datang.

20191111 - Francisco Proner - Farpa Coletivo - lula-livre-ahora

One thought on “Brazil: Lula bebas selepas 580 hari dalam penjara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *