20191111- 4602.jpg

Evo Morales, Presiden Bolivia yang dipilih secara demokratik, telah mengumumkan perletakan jawatan pada 10 November 2019, selepas pihak tentera menyatakan sokongan terhadap kudeta yang dilancarkan oleh golongan berhaluan kanan.

Golongan berhaluan kanan telah melancarkan demonstrasi dan rusuhan selepas Pilihanraya Umum di Bolivia pada 20 Oktober 2019. Evo Morales diisytihar menang dalam Pilihanraya Presiden yang diadakan baru-baru ini, dengan tuduhan bahawa terdapatnya penipuan dalam pilihanraya. Morales berjaya meraih 47.08% undi, 10.57 titik peratusan mendahului pesaing terdekatnya Carlos Mesa, bekas Presiden Bolivia (2003-2005) yang mengamalkan dasar neoliberal tetapi ditentang hebat oleh rakyat sehingga terpaksa meletak jawatan pada tahun 2005. Namun, golongan pembangkang berhaluan kanan yang terdesak untuk menjatuhkan Morales dan mengembalikan dasar ekonomi yang melindungi kepentingan oligarki dalam negara itu, telah menghasut dan melancarkan protes yang bersifat rasis dan keganasan. 3 orang telah mati dalam protes yang melibatkan pertembungan antara penyokong puak berhaluan kanan dengan penyokong Gerakan untuk Sosialisme (Movimiento al Socialismo, MAS), iaitu parti yang dipimpin oleh Morales. Morales telah mengundang Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) untuk menjalankan audit terhadap keputusan pilihanraya walaupun OAS sudah terkenal dengan pendiriannya yang anti-Morales dan pro-imperialis. Namun, golongan pembangkang berhaluan kanan masih meneruskan keganasan untuk mendesak perletakan jawatan Morales.

Pada 8 November 2019, pasukan polis mula berpaling tadah dan menyokong protes yang diadakan oleh golongan berhaluan kanan. Pada 10 November 2019, selepas pemerhati daripada OAS membentangkan laporan audit berkenaan dengan penyelewengan yang didakwanya, Morales telah memanggil untuk pilihanraya baru seperti yang dijanjikannya. Namun, golongan berhaluan kanan masih tidak berpuas hati dengan Pilihanraya Presiden diadakan semula, kerana hasrat mereka memang bukan untuk mempertahankan demokrasi, tetapi hanya mahu mengembalikan proksi oligarki kepada kedudukan kuasa politik yang tertinggi di negara itu demi memulihkan segala keistimewaan yang dinikmati mereka dalam sistem sosio-ekonomi neoliberal.

Tidak lama selepas pihak tentera menyatakan mereka tidak akan menyokong Kerajaan pimpinan Morales, Morales mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden. Morales menyatakan bahawa pengundurannya sebagai Presiden adalah untuk “kebaikan negara”. Morales terpaksa berbuat demikian demi mengelakkan peningkatan dalam keganasan yang dilakukan oleh golongan berhaluan kanan yang berisiko meragut nyawa ramai rakyat Bolivia. Timbalan Presiden Alvaro Garcia Linera juga meletak jawatannya. Morales berkata, “Kuasa-kuasa gelap telah menghancurkan demokrasi.”

Dalam persidangan yang mengumumkan perletakan jawatanya, Morales berkata, “Saya berharap Mesa dan Fernando (kedua-duanya pemimpin pembangkang berhaluan kanan) dan pembangkang yang lain jangan menganiayai, jangan mencederakan, jangan menipu, jangan mempergunakan rakyat…, harapan kita adalah mengembalikan keamanan masyarakat… mereka tahu bahawa kumpulan oligarki bersekongkol untuk menentang demokrasi.”Senator pembangkang berhaluan kanan Jeanine Áñez telah mengambilalih jawatan Presiden Sementara.

Amat jelas sekali, apa yang berlaku di Bolivia adalah kudeta oleh golongan berhaluan kanan yang langsung tidak mempedulikan demokrasi, untuk merampas semula kuasa daripada Kerajaan yang dipilih secara demokratik, demi mengembalikan dasar yang melindungi kepentingan oligarki dan menghancurkan pencapaian sosial untuk selama 14 tahun kebelakangan ini.

Golongan berhaluan kanan telah menggunakan intimidasi dan keganasan terhadap penyokong MAS untuk mewujudkan suasana yang penuh dengan keganasan. Pada 6 November 2019, golongan berhaluan kanan melancarkan serangan bersifat rasis dan misogynis terhadap penyokong MAS di wilayah Cochabamba. Patricia Arce, datuk bandar untuk bandar Vinto, telah diculik oleh samseng puak berhaluan kanan dan dipaksa untuk berjalan kaki ayam untuk beberapa kilometer. Samseng-samseng itu juga memotong rambutnya dan menyimbah cat merah ke atasnya. Wartawan daripada agensi berita milik kerajaan turut diserang. Golongan berhaluan kanan telah menghalau pekerja di sebuah stesen telesisyen milik kerajaan keluar dari tempat kerja mereka. Titik perubahan penting adalah pengkhianatan oleh kepimpinan polis dan tentera.

Walaupun Morales telah meletak jawatan, tetapi golongan berhaluan kanan masih belum berhenti daripada melakukan keganasan dan serangan bersifat rasis terhadap anggota-anggota MAS, masyarakat orang asal Bolivia dan golongan pekerja. Sesetengan pemimpin pembangkang masih menyeru untuk konfrontasi dan keganasan. Ada yang menyeru untuk menangkap Morales.

Kudeta di Bolivia yang menjatuhkan Evo Morales telah dikecam oleh pemimpin politik dan gerakan sosial merentasi benua Amerika Latin.

Evo Morales mula memegang jawatan Presiden Bolivia selepas menang dalam Pilihanraya Presiden pada penghujung tahun 2005. Morales ialah Presiden Bolivia yang pertama datang daripada masyarakat orang asal negara itu (di mana presiden-presiden sebelumnya sejak tahun 1825 semua datang daripada keturunan orang Eropah). Beliau berasal sebagai penanam koka dan pemimpin kepada kesatuan campesino (buruh luar bandar), menjadi terkenal dalam perjuangan rakyat Cochabamba menentang penswastaan air pada tahun 1999-2000 dan kebangkitan rakyat mempertahankan sumber gas asli yang memuncak pada tahun 2003. Morales dipilih menjadi Presiden 14 tahun dahulu hasil daripada perjuangan gerakan sosial yang hebat di Bolivia. Selepas menjadi Presiden, Morales telah mengambil pendirian untuk mengurangkan pengaruh kuasa Amerika Syarikat di negara itu dan menjalin hubungan erat dengan kerajaan-kerajaan berhaluan kiri di Amerika Latin, serta membentuk Pakatan Bolivarian untuk Amerika (ALBA) bersama dengan Venezuela dan Kuba. Morales memperkenalkan Perlembagaan baru yang diluluskan dalam satu referendum pada tahun 2009, yang menjadikan Bolivia sebuah negara plurinasional (iaitu negara dengan berbilang bangsa wujud secara bersama). Morales mengkritik dengan hebatnya dasar ekonomi neoliberal, dan berusaha mengurangkan kebergantungan Bolivia terhadap Bank Dunia dan IMF. Oleh sebab inilah, Morales dibenci oleh golongan oligarki di Bolivia dan kuasa imperialis seperti Amerika Syarikat yang sentiasa mahu menjatuhkannya.

7 thoughts on “Bolivia: Kudeta golongan kanan pijak demokrasi rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *