20191017 - mujer-indigena-2.jpg

Selepas protes rakyat besar-besaran untuk selama 12 hari berturut-turut, satu kemenangan penting dicapai oleh perjuangan rakyat Ecuador apabila kerajaan yang dipimpin Presiden Lenín Moreno menarik balik pakej “pembaharuan” neoliberal yang ditentang hebat oleh rakyat Ecuador. Namun begitu, kerajaan Moreno telah melancarkan penangkapan berterusan terhadap aktivis politik pembangkang di negara itu.

Pada 13 Oktober 2019, Kerajaan Ecuador mencapai persetujuan dengan Konfederasi Bangsa-Bangsa Orang Asal Ecuador (CONAIE) selepas rundingan yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen. Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan langkah-langkah ekonomi baru untuk menangani masalah perbelanjaan berketerlaluan dan hutang yang tinggi. Kerajaan Ecuador bersetuju untuk menghentikan langkah-langkah penjimatan (austerity) yang mencetuskan kemarahan rakyat. Presiden Moreno bersetuju untuk menarik balik Perintah 883 yang menghapuskan subsidi bahan api, dan rancangan “pembaharuan” yang disokong oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada 14 Oktober 2019, Moreno menandatangani Perintah 894 yang mengembalikan subsidi bahan api kepada tahap yang sebelum ini dan menghapuskan pemotongan belanjawan. Moreno berjanji untuk membentuk sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada pemimpin masyarakat orang asal dan organisasi sosial yang lain, untuk mengemukakan langkah-langkah baru bagi menangani defisit belanjawan.

Ratusan ribu orang rakyat Ecuador, dengan masyarakat Orang Asal memainkan peranan utama di samping mobilisasi pelajar, pekerja dan rakyat biasa, telah berprotes di jalanan selepas Presiden Moreno mengumumkan langkah-langkah “penjimatan” pada 1 Oktober 2019. Pakej “penjimatan” tersebut merupakan hasil daripada perjanjian Kerajaan Ecuador dengan IMF untuk mendapatkan pinjaman wang sebanyak USD 4.2 bilion daripada institusi kewangan itu, melibatkan langkah penghapusan subsidi petroleum dan diesel yang sudah wujud selama 3 dekad,. Ini mencetuskan protes besar-besaran sehingga memaksa Moreno memindahkan pusat pentadbiran dari bandar Quito ke Guayaquil. Kerajaan Moreno juga mengisytihar perintah kurung dan militarisasi sepenuhnya di bandar Quito pada 12 Oktober 2019, tetapi gagal menghalang rakyat daripada terus berprotes. Lebih 10 orang mati terkorban dalam protes selama 12 hari, sementara hampir 2,000 orang cedera, dan lebih 1,000 orang ditahan.

20191017 - ecuador-toque-de-queda

Walaupun perjuangan rakyat untuk selama 12 hari ini mendatangkan hasil yang positif, iaitu berjaya memaksa Kerajaan berundur daripada pelaksanaan rancangan ekonomi neoliberal yang menyusahkan rakyat, tetapi perjuangan untuk menentang Kerajaan pimpinan Moreno tetap berterusan kerana penindasan masih berlarutan.  Sejurus selepas berkompromi dengan CONAIE selaku organisasi masyarakat yang terbesar di Ecuador, Kerajaan Moreno mula melancarkan penangkapan terhadap anggota-anngota gerakan politik yang dipimpin oleh mantan Presiden Rafael Correa. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan pimpinan Moreno tiada niat untuk menghentikan penindasannya terhadap golongan kiri di negara itu. Moreno menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2017 atas platform berhaluan kiri yang berjanji untuk meneruskan dasar zaman Correa, tetapi mengkhianati perjuangan yang dipimpin oleh Correa tidak lama kemudian dan berpaling tadah kepada politik berhaluan kanan serta berjinak-jinak dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat.

Kerajaan pimpinan Moreno menyalahkan Rafael Correa dan Gerakan Revolusi Warganegara (MRC) yang dipimpin Correa atas kekecohan yang timbul daripada protes baru-baru ini. Moreno menuduh Correa mengorganisasi pemberontakan masyarakat Orang Asal dengan sokongan daripada Presiden Venezuela Nicolás Maduro. Correa telah menafikan tuduhan liar ini. Terdapat beberapa orang aktivis MRC telah ditangkap dan didakwa sejak tercetusnya protes rakyat di Ecuador. Walaupun Darurat yang diisytihar pada 3 Oktober 2019 telah digantung, penindasan terhadap pembangkang masih berterusan.

Pada 14 Oktober 2019, polis menahan 3 orang pemimpin MRC, Paola Pabón, Christian González Narváez dan Pablo del Hierro. Paola Pabón ialah Pentadbir wilayah Pichincha dan pernah menjadi anggota kerajaan Correa. Pabón meletak jawatannya dalam kerajaan selepas 3 bulan Moreno menjadi Presiden kerana tidak bersetuju dengan Moreno yang mengubah pendirian politiknya ke haluan kanan. Pabón sekarang dituduh oleh kerajaan sebagai salah seorang penghasut di sebalik gerakan protes yang menentang dasar ekonomi neoliberal.

Kompromi Kerajaan Moreno dalam pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal menunjukkan bahawa kuasa rakyat dapat menundukkan golongan berkuasa. Namun, perjuangan masih perlu diteruskan selagi kerajaan yang bersikap represif terhadap pengkritiknya. Rakyat Ecuador sudah pasti akan terus memperjuangkan perlindungan hak mereka daripada ancaman rejim neoliberal yang represif.

3 thoughts on “Ecuador: Perjuangan rakyat menang tuntutan, tapi kerajaan teruskan penindasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *