20191012 - 72186910_2249169608543642_3406016731968176128_n.jpg
Wakil Orang Asli Kampung Lawai membuat aduan di SPRM Ipoh, Perak, untuk meminta SPRM mengembalikan wang “sagu hati” yang diberikan kepada mereka oleh syarikat pembalakan dan menyiasat tentang kes pemberian sogokan ini.

Komuniti Orang Asli Kampung Lawai yang terletak Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak, telah menolak pemberian wang “sagu hati” yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan berdekatan dengan kampung mereka.

Pada 3 Oktober 2019, dua orang penduduk Kampung Lawai, Halim Bin Ngah dan Isnin Bin Long ,telah memanggil semua penduduk Kampung Lawai untuk bermesyuarat di Dewan Adat Kampung Lawai. Tujuan bermesyuarat tidak diberitahu sebelum itu. Semasa dalam mesyuarat tersebut, Isnin Bin Long memberitahu pada para penduduk kampung bahawa dia sendiri bersama dengan Halim Bin Ngah dan Duga Bin Pandak selaku Tok Batin Kampung Lawai telah bertemu dengan dengan Pegawai Jabatan Perhutanan dan tauke syarikat balak di Pejabat Hutan Daerah Sungai Siput.

Isnin Bin Long berkata pada penduduk Kampung Lawai, “RM80,000 akan diberikan kepada penduduk kampung untuk satu blok balak. Buat masa sekarang, RM40,000 diberi dahulu. Jika Kerajaan Negeri menghentikan projek ini, maknanya wang yang diberikan setakat RM40,000 sahaja. Wang ini sebagai sagu hati sekiranya tempat ini disita.”

Selepas itu, Isnin Bin Long dan Halim Bin Ngah mengedarkan wang tunai yang dimasukkan dalam sampul putih mengikut senarai penduduk kampung. Wakil keluarga di dalam Kampung Lawai yang hadir di situ mengambil wang diberikan itu, walaupun ada yang tetap tidak mahu menerimanya, tetapi terpaksa mengambil juga demi menjaga hati Isnin Bin Long dan Halim Bin Ngah. Ada antara penduduk Kampung Lawai berasa amat tidak senang dengan perkara ini dan tidak mahu wang pemberian ini. Oleh itu, mereka telah memutuskan untuk memulangkan semula wang tunai ini kepada pihak yang memberi.

Penduduk-penduduk Kampung Lawai telah membuat aduan polis di Balai Polis Simpang Jalong, Sungai Siput, pada 7 Oktober 2019 berhubung isu pemberian wang “saguhati” ini. Wakil penduduk Kampung Lawai kemudiannya telah memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes ini di Balai Polis Simpang Jalong.

Aktiviti pembalakan telah dijalankan di kawasan Kampung Lawai sejak bulan Julai 2019. Komuniti Orang Asli Kampung Lawai menyuarakan bantahan mereka tentang aktiviti pembalakan ini dengan menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 24 September 2019. Mereka sekali lagi memohon campurtangan Menteri Besar Perak dalam isu ini melalui surat bertarikh 9 Oktober 2019.

Penduduk Orang Asli Kampung Lawai yang enggan menerima wang “sagu hati” yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan, telah bersepakat untuk mengembalikan wang ini melalui bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membenarkan SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap tindakan pemberian wang “sagu hati” yang bersifat sogokan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *