20190808D9oQl4MUcAA_W_p.jpg

oleh Ben Nizari

Selesai membaca Akar Umbi, saya sungguh-sungguh memikirkan di manakah agaknya yang saya pernah membaca kisah-kisah sebegini. Selepas beberapa cubaan mengingat akhirnya membawa saya kepada sebuah novel tulisan John Steinbeck yang berjudul In Dubious Battle. Tetapi yang saya baca ialah terjemahannya oleh Muhammad Ridhwan, terbitan DBP tahun 1989.

In Dubious Battle adalah kisah kelas pekerja semasa zaman kemelesetan (Great Depression) yang bangkit melawan penindasan majikan dan menuntut hak mereka sebagai pekerja, termasuklah upah minimum. Di belakang kaum pekerja hadir dua watak penting, iaitu Jim dan Mac, sebagai aktivis dari ‘Parti’ yang mengatur buruh dan mengajar kaum pekerja tentang hak dan aksi seperti mogok, protes dan sebagainya.

Apabila saya mencermati semula setiap kisah-kisah yang dicatatkan di dalam Akar Umbi, saya mendapati persamaan dalam praktis gerak kerja dan matlamat, bahawa pada akhirnya setiap pengaturan yang dilakukan buat kaum pekerja adalah supaya mereka berhasil memberdayakan diri mereka. Walau bagaimanapun, tujuan tulisan ini bukanlah untuk membuat perbandingan novel.

Akar Umbi secara umumnya menghimpunkan seramai lapan orang penulis yang mempunyai latar belakang sebagai aktivis kaum pekerja. Mereka ini berkongsi sebanyak 16 kisah perjuangan melawan penindasan ke atas kaum pekerja yang berlaku antara tahun 1986 sehinggalah ke tahun 2012.

Semua penulis Akar Umbi sangat dikenali oleh para ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan penyokong-penyokongnya. Namun bagi orang yang di luar lingkungan, barangkali hanya beberapa nama sahaja yang biasa didengar. Justeru, penghasilan dan pengedaran buku seperti ini serta-merta menjadi penting.

Sebagai orang yang gemar memerhatikan buku-buku terbitan PSM, walaupun saya tidak membaca kesemuanya, saya dapati sedikit demi sedikit sudah berlaku kemajuan, terutamanya pada aspek reka bentuk dan susun atur buku.

Namun, kelemahan paling ketara dalam penerbitan PSM ialah reka bentuk kulit buku yang kurang menarik, suram, lemah, tua dan tidak berdaya atau dalam erti kata lain, jika saya seorang pembeli yang tidak ada apa-apa pengetahuan tentang PSM maka saya hanya akan melintasinya sahaja sambil memberi jelingan nipis.

Hari ini kata ‘don’t judge a book by its cover’ sudah tidak laku. Di zaman serba grafik ini hakikatnya pembeli buku terutamanya kaum muda sangat menilai kulit buku sebelum membuat keputusan untuk membelinya.

Sewaktu kaum penerbitan indie menjana wang dalam industri, saya fikir banyak masa dan tenaga telah dihabiskan untuk mencipta dan mendapatkan rekaan kulit buku yang menarik. Setuju atau tidak mereka benar apabila memberikan penekanan dan teliti tentang hal ini.

Reka bentuk berfungsi sebagai daya tarikan buat peminat buku. Buku yang bagus sekalipun tetap memerlukan sentuhan reka bentuk kulit yang dinamik. Sebagai pembeli potensial, kulit buku adalah elemen pertama yang sampai ke otak kita menerusi deria penglihatan. Sebagai manusia, otak kita terhubung untuk memproses gambar lebih cepat daripada kata-kata.

Kata pengasas Smashwords, Mark Coker, “Sewaktu penglihatan kita tertancap pada sebuah kulit buku, kita akan merasakan sesuatu. Kulit buku yang bagus dapat membantu pembaca secara langsung mengenali bahawa buku ini adalah untuk mereka.”

Pada akhirnya tujuan asal kita menghasilkan buku adalah untuk dijual.

Terdapat banyak kekuatan di dalam buku Akar Umbi, antaranya kisah-kisah yang menginspirasi, membakar semangat, pengajaran seperti kemenangan hanya boleh dicapai jika tidak berpecah-pecah.

Malah Akar Umbi memberikan ajaran yang cukup bermakna apabila ia cuba memberitahu bahawa kapitalis bukanlah tidak dapat disentuh langsung, namun ianya terlebih dahulu menagih kesungguhan dan kebijakan.

Dari satu sudut yang lain, Akar Umbi barangkali kurang sentuhan kreatif. Kreatif bermaksud seperti menyuntik emosi ke dalam penceritaan berbanding menulisnya seperti sebuah laporan.

Kaedah sebegini sebenarnya akan lebih menyentuh jiwa pembaca, misalnya seperti yang dilakukan di dalam Ladang Sg. Rasah dan Guppy Plastik. Secara peribadi saya berasa sebak membaca Ladang Sg. Rasah manakala Guppy Plastik membakar semangat saya.

Begitu juga perlu diberi perhatian perihal salah ejaan (typo) dan ayat-ayat yang tidak tersusun dengan baik. Kesemua ini adalah gangguan yang menjengkelkan bagi seorang pembaca walau berapa bagusnya mesej yang disampaikan pada setiap helai buku.

Hari ini dengan kondisi industri buku negara yang suram dan merosot, sesebuah buku barangkali mestilah melalui satu proses yang cermat dari segenap aspek sebelum ianya diterbitkan. Jika ini tidak dipertimbangkan, pada akhirnya hanyalah menjadi longgokan buku yang tidak dapat dijual ataupun memakan masa yang cukup lama sebelum dapat dihabiskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *