20190704-ungku omar.jpg7 orang pekerja pembersihan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, akhirnya menang dalam kes tuntutan untuk tunggakan gaji daripada bekas majikan mereka, ST Powerskill Sdn. Bhd. Pihak majikan telah bersetuju untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM 11,796.23 kepada kesemua 7 orang pekerja yang membuat tuntutan tersebut.

Atas kegigihan untuk berjuang, 7 orang pekerja yang memulakan perjuangan menuntut gaji yang sepatutnya daripada majikan sejak bulan Januari 2019 ini, akhirnya mendapat keadilan dan berjaya mendesak majikan untuk membayar gaji yang belum dibayar kepada mereka. Kes ini telah dibantu oleh aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang terdiri daripada M. Saravathy, V. Selvam dan Danaletchumi.

Pekerja-pekerja pembersihan di Politeknik Ungku Omar telah membuat membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Ipoh pada 8 Januari 2019, berkenaan dengan masalah mereka hanya dibayar gaji RM950 sebulan sedangkan gaji minimum sepatutnya RM1,000. Mereka juga mengadu tentang tiada cuti tahunan untuk pekerja. Majikan juga tidak membayar caruman KWSP sejak tahun 2016. Majikan mereka pada masa itu, ST Powerskill Sdn Bhd, merupakan kontraktor pembersihan untuk Politeknik Ungku Omar.

Pada 13 April 2019, pengurus syarikat ST Powerskill yang bernama William telah memberitahu pada pekerja bahawa kontraknya akan tamat pada 15 April 2019 dan kontraktor baru akan mengambilalih pada 16 April 2019. William telah mengatakan bahawa perkhidmatan pekerja-pekerja di Politeknik Ungku Omar ini tidak akan diberhentikan dan akan disambung dengan kontraktor baru yang mengambilalih kontrak. Dia berkata pada pekerja-pekerja, “Selepas 15 haribulan, jangan cari saya.”

Pada ketika itu, pihak majikan juga bercadang untuk memasukkan caruman KWSP yang tidak dibayar itu terus ke dalam akaun bank peribadi mereka, dan mengatakan sekiranya pekerja-pekerja tidak bersetuju maka majikan tidak akan membayar apa-apa pun. Pekerja-pekerja telah menulis surat yang menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan majikan William itu yang membayar caruman KWSP terus ke dalam akaun peribadi mereka, Surat tersebut telah diserahkan kepada majikan pada 16 April 2019. Namun, salah seorang pekerja telah dimangsakan dengan diberhentikan secara serta-merta pada hari itu juga.

Oleh sebab tindakan majikan yang menganiaya pekerja, pekerja-pekerja pembersihan di Politeknik Ungku Omar telah mengadakan satu protes di hadapan pejabat JTK Ipoh pada 17 April 2019. Mereka mempersoalkan kenapa aduan yang dikemukakan oleh mereka pada 8 Januari 2019 itu belum lagi diselesaikan. Atas desakan daripada pekerja, pihak JTK telah berjanji untuk menyelesaikan aduan mereka dengan segera.

20190417 - jtk2a
Pekerja pembersihan di Politeknik Ungku Omar berprotes di depan JTK Ipoh pada 17 April 2019.

Majikan William datang ke Politeknik Ungku Omar pada 18 April 2019 dan berjumpa dengan pekerja-pekerja. Kali ini dia memberitahu pula bahawa kontraknya akan tamat pada 25 April 2019 dan pekerja yang berumur lebih 60 tahun tidak akan dijamin pekerjaannya di bawah kontraktor baru. William juga mengugut dengan mengatakan bahawa dia boleh mempengaruhi kontraktor baru sama ada meneruskan perkhidmatan mereka atau memberhentikan perkhidmatan mereka.

7 orang pekerja pembersihan yang berkenaan telah hadir ke JTK Ipoh pada 19 April 2019, tetapi pihak majikan gagal hadir untuk rundingan pada hari itu. Pihak JTK telah meminta pada pekerja untuk mengemukakan pengiraan gaji yang sepatutnya dibayar oleh majikan sepanjang perkhidmatan mereka. Mereka sepatutnya hadir sekali lagi ke JTK pada 25 April 2019, tetapi kontraktor baru yang mengambilalih, Henry Butcher, tidak membenarkan mereka keluar dari tempat kerja pada hari itu. Para pekerja terpaksa meminta surat temujanji daripada JTK untuk diberikan kepada Henry Butcher.

Pekerja-pekerja hadir semula ke JTK Ipoh pada 2 Mei 2019 dan mengemukakan segala pengiraan mereka. JTK membuka fail pendakwaan terhadap majikan ST Powerskill. Sebutan kes di Mahkamah Buruh telah ditetapkan pada 13 Jun 2019.

7 orang pekerja pembersihan tersebut juga membuat aduan polis pada 12 Mei 2019, berikutan ancaman pembuangan kerja daripada majikan baru mereka yang mengambilalih kontrak pembersihan di Politeknik Ungku Omar. Setelah aduan polis dibuat, Kementerian Pendidikan telah mengaturkan satu pertemuan pada 13 Mei 2019 antara pekerja-pekerja dengan pihak Politeknik Ungku Omar dan kontraktor utama Konsortium Pae (Ipoh) Sdn Bhd. Pihak syarikat kontraktor utama telah berjanji bahawa pekerja-pekerja pembersihan yang berkenaan tidak akan diberhentikan. Perkhidmatan penyelenggaraan untuk Politeknik Ungku Omar telah disumberkan luar kepada Konsortium Pae, sementara kontraktor utama itu menyumberkan luar lagi kerja-kerja pembersihan kepada syarikat Henry Butcher yang kemudiannya memberikan kontrak kepada syarikat kontraktor kecil yang lain. Mereka masih kekal bekerja di Politeknik Ungku Omar sehingga kini.

Pada 13 Jun 2019, ketika sebutan kes tuntutan pekerja terhadap majikan ST Powerskill di Mahkamah Buruh Ipoh, pihak majikan tidak bersetuju dengan tuntutan pekerja, dan kes ditangguhkan ke 2 Julai 2019.

Pada 2 Julai 2019, apabila kes didengar di Mahkamah Buruh sekali lagi, satu persetujuan telah dicapai antara majikan dan pekerja. Pihak majikan telah bersetuju untuk membayar tunggakan gaji sebanyak RM 11,796.23 kepada 7 orang pekerja yang terlibat dalam tempoh masa 14 hari.

Oleh sebab kegigihan 7 orang pekerja pembersihan ini dalam membuat tuntutan gaji tertunggak dan memperjuangkan hak mereka untuk bayaran gaji yang sepatutnya, akhirnya mereka mendapat balik tunggakan gaji mereka daripada bekas majikan mereka.

One thought on “Pekerja pembersihan Politeknik Ungku Omar menang kes tuntutan gaji tertunggak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *