20190510 - 961937d8-3d44-4294-82b7-d768b5823b45.jpeg“Kemakmuran Bersama 2030” diumumkan pada ketika Mahathir menyedari Wawasan 2020 yang diterajuinya sudahpun tidak mungkin tercapai…

Dalam perutusan bersempena sambutan satu tahun Kerajaan Pakatan Harapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 9 Mei 2019, memang dipenuhi dengan retorik yang cantik berbunga-bunga, khususnya apabila beliau mengemukakan “Kemakmuran Bersama” sebagai halatuju negara sehingga tahun 2030.

Mahathir menyatakan 3 objektif utama “Kemakmuran Bersama 2030”, iaitu:

  1. Kemakmuran Bersama adalah untuk memastikan jurang pendapatan dan kekayaan rakyat dapat ditangani. Ia bermaksud kita berhasrat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan bagi membawa bersama rakyat yang ketinggalan supaya terbela dan diperkasakan.
  2. Kemakmuran Bersama adalah Model Pembangunan Baharu untuk semua. Ia bermaksud mencipta ekonomi yang lebih terstruktur, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.
  3. Kemakmuran Bersama adalah untuk Malaysia yang lebih cemerlang dan menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia. Ia bermaksud menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Ketiga-tiga objektif ini diungkapkan dengan perkataan yang sedap didengar, “merapatkan jurang kekayaan”, “Model Pembangunan Baharu” dan “paksi ekonomi Asia”, tetapi adakah objektif-objektif ini dapat mendatangkan perubahan yang menjamin kesejahteraan sebenar yang berterusan untuk rakyat biasa, dan apakah langkah atau dasar yang akan dilaksanakan untuk mencapai objektif-objektif ini dalam tempoh satu dekad akan datang, adalah menjadi persoalan yang perlu dijawab dengan lebih jelas dan menjadi cabaran untuk kerajaan. Objektif-objektif ini hanya menjadi harapan palsu sekiranya tiada langkah pelaksanaan yang konkrit dan dasar kerajaan yang bersesuaian.

Jurang pendapatan dan kekayaan rakyat memang satu hakikat yang sudahpun diakui oleh kerajaan, bukan sahaja Kerajaan Pakatan Harapan sekarang ini, tetapi Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini pun pernah mengakui masalah ini dan cuba menanganinya tetapi gagal. Korupsi dan penyelewengan oleh golongan atasan dalam kerajaan merupakan faktor yang penting kepada kegagalan dalam usaha merapatkan jurang kekayaan masyarakat, namun adanya satu lagi faktor yang amat penting dan selalunya tidak dipedulikan oleh kerajaan, iaitu dasar ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan.

Selama ini, kerajaan mengamalkan dasar ekonomi yang pro-kapitalis. Sama ada Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini atau Kerajaan Pakatan Harapan sekarang ini, tiada perbezaan yang ketara dalam fahaman ekonomi yang pro-kapitalis ini, di mana kerajaan sentiasa mengutamakan pelaburan asing dan keuntungan pemodal besar. Kerajaan yang mengamalkan dasar sebegini dengan anggapan bahawa pelaburan daripada pemodal-pemodal sama ada dari dalam atau luar negara adalah satu-satunya cara untuk membangunkan ekonomi yang menjana pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Namun, apa yang kita alami untuk beberapa dekad yang lalu sehingga kini, gaji pekerja Malaysia telah ditekan pada paras yang rendah untuk mengekalkan “daya saing” ekonomi negara dan menjadi “tarikan” bagi pelabur kapitalis. Apabila pendapatan rakyat bawahan tidak mencukupi untuk menyara hidup secara bermaruah, pemodal yang memperoleh keuntungan lumayan pula dapat mengelakkan diri daripada dicukai pada kadar yang tinggi, malah ada yang mengalihkan kekayaan mereka ke tempat berlindung cukai di luar negara.

Jadi, usaha merapatkan jurang kekayaan perlu direalisasikan dengan kerangka ekonomi yang berbeza daripada dasar pro-kapitalis yang sedia ada sekarang. Bolehkah “Model Pembangunan Baharu” melangkaui logik pemikiran ekonomi yang pro-kapitalis ini? Adakah “ekonomi yang lebih terstruktur dan progresif” yang dimaksudkan Mahathir itu merangkumi sistem percukaian progresif yang memastikan golongan mahakaya membayar kadar cukai yang lebih tinggi untuk diagihkan semula melalui dasar kebajikan sosial yang menyeluruh? Adakah “penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat” bermakna kelas pekerja dan rakyat bawahan dapat terlibat secara langsung dalam membuat keputusan tentang hal ehwal ekonomi? Mungkin ini masih impian kosong…

Mahathir juga menggariskan 7 teras strategik untuk mencapai Kemakmuran Bersama: (dan marilah kita mengupas satu demi satu)

i. Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara. Ekosistem Perniagaan dan Industri negara perlu ditambah baik supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan. Penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi.

Ekosistem perniagaan dan industri yang masih berlandaskan logik sistem kapitalis yang bermotifkan pemaksimuman keuntungan adalah ancaman kepada kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekosistem semulajadi. Ekosistem sebegini tidak patut “ditambahbaikkan”, sebaliknya kita perlu menggantikan sepenuhnya. Kehendak ekonomi kapitalis, sama ada masa kini atau masih depan, tetap memaksimumkan keuntungan. Kita perlukan anjakan paradigma untuk membebaskan diri daripada kerangka ekonomi yang terbawa-bawa oleh kehendak kapitalis.

Dalam Revolusi Industri 4.0 dengan perkembangan teknologi yang pesat, sepatutnya produktiviti pekerja kita turut meningkat, sehingga membolehkan kita meningkatkan pendapatan dan mengurangkan masa kerja pada masa yang sama. Adakah pekerja-pekerja Malaysia dapat menikmati hidup berkualiti dengan masa kerja lebih pendek dengan ekonomi negara melonjak ke aras yang lebih tinggi, ataupun masih perlu bekerja dengan masa yang panjang kerana gaji tidak mencukupi di samping menghadapi ancaman pengangguran dari semasa ke semasa?

ii. Sektor Pertumbuhan Baharu. Bagi menjana ekonomi negara kepada aras yang lebih tinggi dan relevan dengan perkembangan zaman, Malaysia harus meneliti dan mempelopori sektor-sektor pertumbuhan baharu. Kita tidak boleh terperangkap dalam sektor tradisional dan cara kerja yang lama. Pelaburan dan pengwujudan kapasiti dalam sektor-sektor pertumbuhan baharu amat penting dalam ekonomi dunia yang terus berubah secara radikal. Kita tidak harus menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi negara yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.

Adakah “Sektor Pertumbuhan Baharu” yang dimaksudkan di sini termasuk sektor awam yang membekalkan perkhidmatan asas kepada rakyat kita hari ini seperti kesihatan dan pendidikan? Sektor awam tidak patut diswastakan lebih lanjut lagi kepada golongan pemodal yang hanya mementingkan keuntungan. Jangan kita menggadaikan hak asasi rakyat dan kepentingan awam kepada golongan kapitalis atas nama membangunkan “Sektor Pertumbuhan Baharu.”

iii. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara. Proses peningkatan keupayaan dan kemahiran pekerja Malaysia memerlukan perubahan yang radikal bagi memastikan kita boleh menghasil tenaga kerja yang lebih produktif yang memberikan nilai pendapatan yang tinggi. Program-program peningkatan keupayaan dan kemahiran di sektor swasta mahupun yang disediakan oleh Kerajaan akan dilihat semula secara menyeluruh bagi melahirkan tenaga kerja yang kompetitif, produktif dan relevan dengan kehendak industri dan dunia pada hari ini dan masa depan.

Adakah institusi pendidikan negara kita hanya kilang menghasilkan produk untuk memenuhi kehendak industri yang didominasi oleh kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan?

iv. Memperbaiki Pasaran Buruh dan Pendapatan Pekerja. Pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik. Selain memperkenalkan sektor pertumbuhan baharu, pembaikan ekosistem perniagaan dan perindustrian dan peningkatan keupayaan sumber manusia; kita akan menentukan polisi dan program yang dapat memberi pendapatan yang lebih adil kepada pekerja supaya kenikmatan dapat dirasai oleh mereka. Penyediaan peluang yang lebih menyeluruh kepada pekerja tempatan di semua peringkat harus menjadi keutamaan.

“Pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi” memang sedap didengar tetapi adakah kerajaan serius terhadapnya dengan memastikan gaji minimum berada pada kadar yang mampu sara hidup untuk pekerja atau hanya mengikut kehendak majikan? Tingkahlaku Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu gaji minimum untuk setahun yang lalu tidak menyakinkan rakyat tentang komitmennya dalam membolehkan pekerja kita mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik.

v. Memperkukuhkan Kesejahteraan Sosial. Negara mempunyai tanggungjawab kepada golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah. Polisi dan program ke arah kesejahteraan sosial yang lebih menyeluruh harus diperkukuhkan berdasarkan prinsip memenuhi ekonomi keperluan (need base). Kita tidak mahu semasa mengejar kemakmuran negara ada kalangan rakyat yang tertinggal. Walaupun begitu; usaha ini bukan bermaksud untuk negara menyuap nasi ke mulut mereka, namun dengan tujuan membantu membangun keupayaan mereka keluar dari kekurangan dan keadaan yang berisiko.

Strategi yang sedap didengar tetapi perlu ditunjukkan dengan dasar yang konkrit. Adakah kerajaan akan berusaha dalam mewujudkan pencen warga emas, menyokong pemberdayaan kesatuan sekerja supaya pekerja mempunyai lebih kekuatan untuk memperjuangkan hak mereka, membekalkan perumahan sosial yang mampu diduduki semua dan sebagainya?

vi. Pembangunan wilayah yang inklusif. Pembangunan ekonomi negara bukan bermaksud hanya beberapa wilayah negara yang dibangunkan namun ke arah pembangunan ekonomi yang inklusif dan teragih (distributive). Pembangunan pusat-pusat ekonomi yang lebih menyeluruh di seluruh pelusuk negara harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan negeri-negeri Borneo harus dikurangkan.

Hasrat yang bagus dan strategi yang amat diperlukan. Namun, ini tidak dapat dilakukan di bawah kerangka kapitalis, kerana golongan kapitalis tidak akan melabur di kawasan kurang membangun jika tiada prospek untuk keuntungan. Oleh itu, ia perlukan komitmen dan peruntukan secara langsung daripada kerajaan.

vii. Peningkatan modal sosial masyarakat. Bagi menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan kita memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan di kalangan kita. Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun. Jati diri dan patriotisme golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang.

Kita tidak perlukan “patriotisme” kerana ia hanyalah fahaman sempit yang menggalakkan taat setia yang membuta tuli. Kita perlu membina golongan muda dengan pemikiran yang lebih kritikal dan bersemangat pembebasan.

Mahathir berkata, “Kemakmuran Bersama tidak harus diukur hanya dengan KDNK yang tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa. Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama.” Memang sedap didengar ucapan sebegini, tetapi pelaksanaan dasar untuk merealisasikannya lebih penting.

Masih ingat apa yang dikatakan oleh Mahathir pada tahun 1991 (28 tahun dahulu) semasa melancarkan Wawasan 2020? “Kita perlu menjadi negara yang maju menurut acuan kita sendiri. Malaysia tidaklah hanya menjadi negara maju dari segi ekonominya semata-mata. Negara kita mestilah menjadi negara maju dalam segala aspek seperti ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Kita hendaklah mencapai kemajuan sepenuhnya dari segi perpaduan negara dan kesepaduan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, mutu kehidupan, nilai-nilai sosial dan kerohanian, selain rasa bangga dan yakin akan bangsa sendiri.” Bukankah ini retorik yang sama?

Ingat lagi Transformasi Kerajaan (GTP) dan Transformasi Nasional TN50 yang diperkenalkan semasa Najib Razak masih Perdana Menteri, yang turut dihiasi dengan retorik-retorik hebat? Semuanya tinggal retorik yang cantik tetapi kosong, kerana kerajaan tiada kesungguhan politik untuk merealisasikannya dan tidak sanggup berputus daripada dasar pro-kapitalis, di samping menyeleweng kuasa untuk kepentingan puak sendiri.

Rakyat biasa tidak perlu terlalu ghairah terhadap retorik sedap didengar yang dilafazkan oleh pemimpin negara. Mungkin apa yang dikatakan oleh pemimpin negara itu keluar daripada hati yang ikhlas, walapupun pada kebanyakan masanya hanya kata-kata jampi politik untuk memukau rakyat supaya terus menyokongnya, kita tidak boleh mengharapkan seorang dua pemimpin “hebat” untuk membawa perubahan dan melaksanakan dasar-dasar yang menjamin kesejahteraan rakyat. Segala yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan rakyat yang berterusan. Kita perlu terus membina kuasa rakyat untuk menggerakkan pembinaan masyarakat yang benar-benar sejahtera untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *