20190508 - bukit jalil.jpgBUKIT JALIL, KUALA LUMPUR – 8 MEI 2019: Penduduk-penduduk di Ladang Bukit Jalil sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa selepas menerima notis pengosongan tapak yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada hari semalam (7 Mei 2019).

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan telah menggunakan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara untuk mengarahkan 41 buah keluarga yang masih tinggal di Ladang Bukit Jalil untuk mengosongkan tanah yang diduduki mereka selewat-lewatnya pada 14 Mei 2019.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Ladang Bukit Jalil pada hari ini, penduduk-penduduk bertegas bahawa mereka tetap akan tinggal di situ sehingga masalah perumahan mereka selesai. Mereka menggesa pada pihak kerajaan supaya membatalkan notis pengosongan tanah. Turut bersama dengan penduduk-penduduk Ladang Bukit Jalil dalam sidang akhbar ialah S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Bukit Jalil pernah berjumpa dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada 19 September 2018, dan Menteri bersetuju untuk meneliti isu perumahan bekas pekerja Ladang Bukit Jalil. Menteri Wilayah Persekutuan pernah berjanji bahawa bekas pekerja ladang Bukit Jalil tidak akan menghadapi sebarang masalah daripada pihak berkuasa dan tidak perlu takut, tetapi sekarang mereka menghadapi ancaman pengusiran.

Penduduk-penduduk Ladang Bukit Jalil telah menuntut pada kerajaan supaya menyediakan 4 ekar tanah di tapak yang sedia ada untuk membina rumah kos rendah bagi 41 keluarga bekas pekerja Ladang Bukit Jalil, sementara kuil, kubur dan sekolah dikekalkan seperti yang dijanjikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 2010.

Masyarakat Ladang Bukit Jalil menghadapi masalah perumahan yang sudah berlarutkan untuk 38 tahuun. Ladang Bukit Jalil terletak di Batu 6 1/2 Jalan Puchong, Kuala Lumpur. Ladang ini merupakan ladang terakhir di kawasan berhampiran Kuala Lumpur dan penduduk di sini telah menetap di ladang ini untuk sejak tahun 1940-an dan sudahpun empat generasi. Selain rumah penduduk yang merupakan bekas pekerja ladang, terdapat juga kuil, sekolah dan tanah perkuburan di kawasan ladang ini. Ladang ini pada asalnya milik Kinrara Estate Group dan kemudiannya diambilalih oleh Kerajaan pada tahun 1980.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *