20190412 - sudan 041119-sudan-protestsSetelah gelombang protes yang hebat tercetus di negara Sudan untuk beberapa bulan kebelakangan ini, Omar al-Bashir, Presiden Sudan yang berkuasa untuk hampir 30 tahun, telah dijatuhkan pada 11 April 2019. Ini merupakan kemenangan kedua perjuangan rakyat baru-baru ini dalam tempoh 10 hari yang lepas, setelah kejatuhan rejim diktator di Algeria, hasil daripada mobilisasi massa yang hebat dalam menentang rejim kediktatoran di rantau Afrika Utara. Ini seolah-olah “Arab Spring 2.0” yang melanda Afrika Utara.

Gelombang protes di Sudan yang terbaru ini tercetus pada 19 Disember 2018, kerana kemarahan rakyat terhadap kos hidup yang melambung tinggi dan kemerosotan keadaan ekonomi yang menjejaskan semua lapisan masyarakat. Demonstrasi yang menuntut pembaharuan ekonomi segera ini telah berkembang menjadi aksi massa menuntut pengunduran Omar al-Bashir yang berkuasa sejak tahun 1989. Rejim Omar al-Bashir bertindak balas dengan menggunakan kekerasan, menyebabkan ramai orang mati dan cedera dalam penindasan pihak berkuasa, sementara ramai juga ditangkap. Kerajaan Omar al-Bashir mengisytihar darurat pada 22 Februari 2019, tetapi gagal menyekat kebangkitan kuasa rakyat.

20190412 - sudan 041019-sudan-photo
Alaa Salah, seorang pelajar yang berumur 20-an, telah menjadi ikon terbaru kepada kebangkitan rakyat Sudan.

Beberapa hari selepas kejatuhan rejim diktator Abdelaziz Bouteflika di Algeria, rakyat Sudan yang terangsang dengan berita ini telah berprotes secara besar-besaran pada 6-7 April 2019 tanpa mempedulikan larangan protes di bawah pengisytiharan darurat. Ribuan rakyat Sudan berhimpun di hadapan ibupejabat tentera di beberapa buah negeri berlainan, dengan tuntutan pada askar-askar supaya menyertai protes menentang rejim Omar al-Bashir. Cubaan oleh pasukan keselamatan dan militia yang setia pada Omar al-Bashir untuk menyuraikan demonstrasi ini telah digagalkan apabila sebahagian daripada askar dan pegawai rendah dalam tentera keluar melawan pasukan keselamatan. Sekurang-kurangnya 26 orang telah mati dan lebih seratus orang cedera sejak 6 April 2019.

Oleh sebab takut pada kebangkitan rakyat yang akhirnya akan menggugat keseluruhan kelas pemerintah Sudan, pihak tentera Sudan terpaksa mengambil keputusan untuk melucutkan kuasa Omar al-Bashir pada 11 April 2019.

20190412 - sudan 754241_img650x420_img650x420_crop

Penyingkiran Omar al-Bashir sebagai Presiden Sudan, merupakan satu kemenangan penting untuk kebangkitan rakyat Sudan. Namun, rampasan kuasa oleh pihak tentera ini tidak akan membawa perubahan yang sebenar, dan ini amat disedari oleh ramai rakyat Sudan yang berprotes untuk berbulan-bulan yang lepas. Beberapa organisasi yang berada di barisan depan protes telah mengatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan menerima pengganti yang ada hubungan dengan rejim lama. Mereka telah menuntut pada pihak tentera untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat. Adanya kumpulan yang menyeru pada askar-askar supaya berdiri bersama rakyat dan jangan membenarkan jeneral di atas untuk menculik revolusi ini. Demonstran masih turun ke jalanan di Khartoum, ibu negara Sudan, walaupun majlis tentera yang baru mengeluarkan perintah kurung. Rakyat Sudan yang memperjuangkan perubahan sejati tidak percaya bahawa pimpinan tentera mampu membawa perubahan yang diinginkan rakyat jelata. Jeneral-jeneral dalam tentera hanya mahu menyekat kebangkitan rakyat ini dan menghentikan proses transformasi sebenar yang memanfaatkan rakyat biasa.

Rakyat Sudan akan terus berprotes sehingga kuasa diserahkan kepada kerajaan orang awam yang dipilih secara demokratik.

Omar al-Bashir berkuasa pada tahun 1989 melalui rampasan kuasa tentera yang menjatuhkan kerajaan campuran pimpinan Sadiq al-Mahdi yang tidak stabil pada masa itu. Omar al-Bashir menang dalam tiga pilihanraya Presiden selepas itu di bawah keadaan penyelewengan yang berleluasa. Omar al-Bashir telah disabitkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada tahun 2009, atas kesalahan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan kerana penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai di Darfur yang meragut nyawa seramai 300,000 orang.20190412 - sudan