calon
Dari kiri: Nik Aziz Afiq (PSM), Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Kuan Chee Heng (Bebas)

Pilihanraya Kecil (PRK) untuk kawasan DUN Semenyih yang berlangsung pada 2 Mac 2019, menyaksikan Barisan Nasional (BN) merampas semula satu kerusi DUN Selangor daripada Pakatan Harapan (BN). BN sekarang ini menguasai 5 kerusi dalam DUN Selangor bersama dengan PAS yang ada 1 kerusi, sementara PH masih memegang 50 kerusi.

Ini merupakan satu amaran kepada Kerajaan Pakatan Harapan, sama ada di peringkat Negeri Selangor selepas ditadbir olehnya (sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat) untuk hampir 11 tahun dan di peringkat Persekutuan yang berkuasa tidak sampai setahun. UMNO-BN semestinya akan mendapat keyakinan baru untuk meneruskan politik perkaumannya.

Dalam pertandingan empat penjuru dalam PRK Semenyih ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meletakkan calon aktivis anak muda Nik Aziz Afiq, gagal memperbaiki prestasi dari segi perolehan undi. PSM menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan akan membuat penilaian tentang kelemahannya dan meneruskan usaha membina kuasa rakyat dari bawah.

Keputusan penuh PRK Semenyih seperti di bawah:

Zakaria Hanafi (Barisan Nasional – BN) – 19,780 undi (50.44%)
Muhammad Aiman Zainali (Pakatan Harapan – PH) – 17,866 (45.56%)
Kuan Chee Heng (calon Bebas) – 725 (1.84%)
Nik Aziz Afiq (Parti Sosialis Malaysia PSM) – 847 (2.16%)

Undi majoriti pemenang – 1,914

Jumlah undi ditolak – 650

Jumlah undi tidak dipulangkan – 50

Peratusan keluar mengundi 73.24%

Berbanding dengan keputusan PRU-14 di kawasan DUN Semenyih yang dimenangi oleh Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada PH, undi yang diperoleh PH telah berkurang sebanyak 5562 dan merosot sebanyak 5.20 titik peratusan; sementara undi untuk BN telah bertambah sebanyak 5,316 dan meningkat sebanyak 19.10 titik peratusan, hasil daripada kerjasama UMNO-PAS dan sebahagian undi kepada PH dalam PRU-14 telah diberikan kepada BN dalam PRK kali ini. Peratusan keluar mengundi dalam PRK kali ini adalah lebih rendah berbanding 87.45% dalam PRU-14.

Dalam PRU-14, jumlah undi yang diperoleh PH adalah lebih banyak berbanding jumlah undi kepada calon-calon bukan PH (BN, PAS dan PSM); sementara dalam PRK kali ini, jumlah undi yang diperoleh BN pula lebih banyak berbanding jumlah undi kepada calon-calon bukan BN (PH, Bebas dan PSM). Amat jelas terdapatnya “swing” daripada pengundi dari PH kepada BN selain kerjasama UMNO-PAS yang menyumbang kepada undi oleh penyokong PAS yang diberikan kepada calon BN atas seruan “Perpaduan Ummah”. Formula kerjasama UMNO-PAS ini nampaknya akan diteruskan dalam PRK yang akan datang, khususnya PRK kawasan DUN Rantau di Negeri Sembilan tidak lama lagi, dan juga PRU-15. Dengan pemimpin UMNO dan PAS yang semakin selesa dengan menggunakan politik berasaskan perkauman dan agama untuk meraih sokongan, sudah pastinya politik negara kita akan lebih menjurus kepada polarisasi berasaskan kaum. Ini bakal membantut usaha pembaharuan demokratik untuk masyarakat kita dalam menjamin kesejahteraan semua.

Kekalahan yang teruk sekali lagi untuk PSM di Semenyih ini, walaupun pedih bagi penyokong-penyokong PSM, tetapi tidak akan mematahkan semangat aktivis-aktivis PSM untuk meneruskan usaha memperjuangkan kepentingan rakyat bawahan. Seperti yang dikatakan oleh Nik Aziz Afiq dalam kempen PRK Semenyih, “Menang kami berkhidmat, kalah pun kami berkhidmat. Memang ini cara politik PSM, tetap berkhidmat untuk rakyat!” Usaha membina kuasa rakyat yang progresif dari bawah perlu diteruskan.

5 thoughts on “PRK Semenyih: PH hilang satu kerusi kepada BN di DUN Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *