flatkepong01.jpg

PUTRAJAYA – 18 SEPTEMBER 2018: Penduduk-penduduk dari Pangsapuri Mutiara Fadason, Jinjang, Kuala Lumpur, telah hadir ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada hari ini untuk menyerahkan memorandum berkenaan dengan masalah lif rosak yang membelenggu penduduk di situ untuk hampir sebulan yang lalu. Penduduk-penduduk Blok C Pangsapuri Mutiara Fadason memohon bantuan kecemasan daripada pihak Kementerian untuk membaiki lif yang rosak di blok rumah tersebut.

Perumahan Pangsapuri Kos Rendah Mutiara Fadason dibina sebagai projek usahasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Fadasan Holdings, sebagai penempatan semula untuk penduduk setinggan di Kuala Lumpur. Kawasan rumah pangsa tersebut mempunyai 3 blok (iaitu Blok A, B dan C) dan setiap blok mempunyai 2 buah lif. Sejak lebih setahun yang lalu, salah satu lif di setiap blok bangunan terpaksa ditutup kerana pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) telah disaman oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) kerana tidak menjaga lif dengan baik, menyebabkan lif selalu rosak. Sejak hari itu, semua penduduk bergantung kepada hanya satu lif sahaja untuk turun naik dari rumah mereka.

Hidup sebulan tanpa lif di rumah pangsa setinggi 18 tingkat

Penduduk-penduduk di Blok C Pangsapuri Mutiara Fadason berada dalam kesusahan yang kritikal akibat satu-satunya lif untuk blok tersebut telah mengalami kerosakan sejak 20 Ogos 2018.

Penduduk-penduduk Blok C yang tinggal di unit rumah setinggi 18 tingkat tiada pilihan lain kecuali hanya menggunakan tangga untuk turun naik dari rumah mereka kerana ketiadaan lif.

Kos untuk membaiki kotak gear lif Blok C adalah lebih kurang RM 40,000, sementara kos untuk membaiki kesemua 6 lif di ketiga-tiga blok adalah sekitar RM434,600. JMB Pangsapuri Mutiara Fadason sekarang ini tiada lagi dana untuk membaiki lif sejak mengambilalih tugas daripada barisan JMB yang lepas pada awal tahun 2018. JMB tidak dapat menyelenggara dan membaik pulih kerosakan kedua-dua lif kerana terpaksa menanggung tunggakan pelbagai bayaran bil semasa mengambilalih tugas daripada JMB yang sebelumnya dengan  jumlah keseluruhannya pada masa itu sebanyak RM933,300.

JMB tidak berfungsi dengan baik

Pesuruhjaya Bangunan (COB)  Kuala Lumpur telah lama mengetahui masalah Pangsapuri Mutiara Fadason, tetapi tidak banyak membantu dalam menangani masalah penduduk. Malahan, keadaan bertambah teruk lagi kerana pada awal bulan Ogos, syarikat bekalan air SYABAS telah memotong bekalan air selama 3 hari kerana kegagalan JMB membayar tunggakan bil air. Kali terakhirnya mesyuarat bersama dengan JMB dan COB diadakan pada 31 Mei 2018 yang lalu, di mana pihak COB telah mengarahkan JMB untuk mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 29 Julai 2018, tetapi sehingga ke hari ini, pihak JMB gagal melaksanakannya .

Apabila kedua-dua lif di Blok C rosak, penduduk pula diminta membayar wang tambahan RM 110 per unit rumah, untuk menampung kos membaikpulih lif. Dengan rekod perkhidmatan yang kurang memuaskan, para penghuni telah hilang kepercayaan terhadap JMB ini. Mereka risau bahawa sumbangan mereka untuk membaiki lif ini akan disalahgunakan dan lif tidak akan dibaiki.

Sejak kedua-dua lif rosak selama 30 hari, telah berlakunya beberapa kes penghuni jatuh kerana menggunakan tangga yang pecah dan rosak. Ketiadaan lif menyusahkan ramai penduduk, terutamanya mereka yang sudah uzur, OKU, warga emas, ibu yang mengandung dan juga mereka yang menghadapi masalah kesihatan.

flatkepong

Tuntutan penduduk

Tuntutan penduduk Pangsapuri Mutiara Fadason kepada Menteri Peumahan dan Kerajaan Tempatan adalah:

  • Pihak Kementerian mencampurtangan dalam menyelesaikan isu ini dengan kadar segera, supaya bantuan dana kecemasan dapat diberikan segeara untuk membaiki lif yang rosak di Blok C.
  • Kerajaan harus mengambilalih penyelengaraan ketiga-tiga blok Mutiara Fadason memandangkan JMB telah gagal menguruskan Pangsapuri Mutiara Fadason dengan baik.

Memorandum telah diserahkan kepada Nurul Huda binti Mohd Zainudin, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hajah Zuraida binti Kamaruddin.

Turut bersama dengan penduduk Pangsapuri Mutiara Fadason semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan Soh Sook Hwa (Bendahari PSM).

Laporan berkaitan: Derita hidup 25 hari tanpa lif di rumah pangsa 18 tingkat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *